ISTANBUL, 23 APRIL – Satu gempa bumi dengan magnitud 6.2 telah melanda Laut Marmara berhampiran dengan kawasan barat Istanbul hari ini.
Menurut pihak berkuasa, gegaran dapat dirasakan seluruh bandar terbesar Turkiye sehingga menyebabkan orang ramai bergegas keluar ke jalanan.
“Gempa bumi bermagnitud 6.2 berlaku di Silivri, Laut Marmara, Istanbul,” kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya di platform X, sambil menambah ia turut dirasai di wilayah sekitarnya.
Menurut agensi pengurusan bencana AFAD Turki di X, gempa pertama berlaku pada jam 12:49 tengah hari dan diikuti tiga lagi gegaran susulan dengan magnitud antara 4.4 hingga 4.9.
Apabila bangunan mula bergegar, orang ramai bergegas untuk keluar ke jalan, sebahagian daripada mereka kelihatan panik dan memeriksa telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat atau membuat panggilan, kata seorang wartawan AFP.
“Saya baru rasa gegaran, saya kena keluar sekarang,” kata seorang tukang hias dalaman yang kelihatan cemas, yang sedang bekerja di sebuah apartmen tingkat empat berhampiran Menara Galata.
Menurut pihak berkuasa bandar dan pejabat gabenor wilayah, tiada laporan segera mengenai kematian, kecederaan atau bangunan yang runtuh di bandar yang menempatkan 16 juta penduduk itu.
“Setakat ini, kami belum menerima maklumat mengenai sebarang bangunan yang runtuh,” kata pejabat gabenor sambil menggesa orang ramai menjauhi struktur yang mungkin rosak akibat gegaran tersebut. – AFP
