SYDNEY, 25 MAC – Gempa bumi dengan magnitud 6.7 melanda luar pantai Pulau Selatan New Zealand hari ini, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gegaran berlaku pada pukul 2:43 petang pada kedalaman 10 kilometer di luar semenanjung barat daya Pulau Selatan New Zealand, menurut USGS.
Pusat gempa ini terletak sekitar 160 kilometer dari penempatan utama Riverton, dan pada awalnya direkodkan sebagai gegaran pada magnitud 7 sebelum ia dikurangkan kekuatannya.
Tiada amaran tsunami atau laporan kerosakan, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Honolulu.
Agensi pengurusan kecemasan New Zealand memberi amaran kepada penduduk untuk mengelakkan kawasan pesisir berhampiran kerana risiko ‘arus yang kuat dan luar biasa.’

“Tiada ancaman darat dijangka,” kata agensi itu dalam nasihat kebangsaan.
Rose Ivory, pemilik La Riviera Guesthouse di Riverton berkata ‘seluruh kereta saya bergegar.’
“Ia berlaku agak lama,” katanya kepada AFP.
“Semua orang agak tenang mengenai perkara itu. Saya pergi membeli barang runcit, tiada siapa yang nampak kisah.”
Ben Sievwright, pengurus Ziff’s Cafe and Bar di Invercargill di Pulau Selatan, berkata dia terasa ‘sedikit gegaran.’
“Sedikit gegaran, tiada apa yang amat luar biasa,” katanya kepada AFP.
New Zealand digegarkan oleh ribuan gempa kecil setiap tahun. – AFP