Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi magnitud 7.4 gegar Rusia, amaran tsunami ditarik balik

    MOSCOW, 14 SEPT – Gempa bumi dengan magnitud 7.4 telah menggegarkan pesisir Kamchatka di Timur Jauh Rusia kelmarin, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC), gempa itu tidak menimbulkan risiko tsunami.

    USGS berkata, gempa tersebut berlaku 111 kilometer ke timur bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, pusat pentadbiran wilayah Kamchatka, pada kedalaman 39.5 kilometer.

    Agensi itu pada awalnya melaporkan magnitud 7.5 sebelum menurunkannya.

    PTWC pada mulanya memberi amaran, gelombang ‘berbahaya’ setinggi sehingga satu meter berkemungkinan melanda beberapa kawasan pesisir Rusia berdekatan.

    Namun, pusat itu kemudian mengesahkan, ‘ancaman tsunami kini telah berakhir’.

    Pada Julai lalu, salah satu gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan berlaku di luar semenanjung Kamchatka, mencetuskan tsunami setinggi empat meter di seluruh Pasifik dan memaksa pemindahan penduduk dari Hawaii hingga ke Jepun.

    Gempa bermagnitud 8.8 itu merupakan yang terbesar sejak 2011, apabila gegaran bermagnitud 9.1 di pesisir Jepun mencetuskan tsunami yang meragut lebih 15,000 nyawa.

    Gempa pada Julai itu turut memaksa pihak berkuasa Jepun mengarahkan hampir dua juta orang berpindah ke kawasan lebih tinggi.

    Amaran tsunami juga dikeluarkan di seluruh rantau berkenaan, sebelum ditarik balik atau diturunkan tahapnya. – AFP

    Gambar FREEPIK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda