TEHRAN, Iran, 1 April – Rangkaian TV kerajaan Iran berkata gempa bumi berukuran 5.3 magnitud telah menggegarkan Kermanshah, wilayah barat negara itu, dengan tiada laporan mengenai kerosakan mahupun korban jiwa.
Menurutnya lagi, gegaran hari ini itu telah menggegarkan bandar Kurdish, Sarpol-e-Zahab, yang pernah menjadi salah satu kawasan paling musnah akibat gempa bumi berukuran 7.2 magnitud pada November lalu yang mengorbankan kira-kira 600 orang.
Iran terletak di garisan gegaran utama dan mudah terdedah kepada bencana gempa bumi. Pada 2003, gempa bumi berukuran 6.6 magnitud telah meranapkan bangunan bersejarah Bam dengan 26,000 orang terkorban. – AP