LAHAD DATU, 29 JAN – Gegaran gempa bumi sederhana berukuran magnitud 5.9 yang berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia malam tadi turut dirasai penduduk di tiga daerah di Sabah iaitu Semporna, Tawau dan Lahad Datu.
Jururawat Hospital Lahad Datu, Nur Azirah Aki, 30, berkata dia yang sedang bertugas ketika itu dapat merasakan gegaran yang berlaku sekitar jam 11 malam dan tiada kejadian tidak diingini berlaku di hospital tersebut.
“Saya sedang melakukan pemeriksaan rutin terhadap pesakit apabila tiba-tiba terasa gegaran. Walaupun tidak terlalu kuat, ia cukup untuk dirasai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nur Hamida Abdul Rahman, 40, pula berkata anaknya mengalami pening secara tiba-tiba yang dipercayai berkait dengan kejadian gempa bumi tersebut.
“Kami sekeluarga tidak menyedari tentang gempa bumi di Indonesia tetapi sekitar jam 11 malam anak saya mengadu sakit kepala dan pening. Setelah mengetahui tentang kejadian ini, kami kemudian mengaitkan dengan gejala pening dialami anak saya,” kata suri rumah itu.
Arun Matusin, 55, seorang nelayan di Semporna berkata dia sedang berada di kawasan jeti untuk mengikat botnya malam tadi ketika kejadian berlaku dan melihat air laut berkocak lebih kuat daripada biasa.
“Kerusi dan rak di jeti bergetar juga tetapi tidak begitu kuat. Mulanya ingat tiada apa-apa, bila anak beritahu ada gempa bumi di Sulawesi baru saya tahu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung gegaran gempa bumi tersebut.
“Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kejadian yang memerlukan bantuan kecemasan diterima namun kita sentiasa bersedia sekiranya ada apa-apa keperluan,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam tadi melaporkan gempa bumi itu berlaku pada jarak 210 kilometer timur laut dari Palu, Indonesia pada kedalaman 80 kilometer dengan koordinat 0.5 darjah utara dan 121.2 darjah timur.
MetMalaysia dalam kenyataannya mengesahkan tiada ancaman tsunami susulan gempa bumi itu namun menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada. – Bernama