JAKARTA, 23 MEI – Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter melanda berhampiran pulau Sumatera Indonesia hari ini telah merosakkan lebih 100 rumah tanpa sebarang laporan kemalangan jiwa, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gegaran yang berlaku pada pukul 2:52 pagi waktu tempatan pada kedalaman 68 kilometer, dengan pusat gempa di luar pantai berhampiran wilayah Bengkulu, menurut USGS.
Agensi meteorologi negara berkenaan memberikan magnitud lebih tinggi iaitu 6.0 dengan pusat gempa pada kedalaman 84 kilometer, sambil menambah tiada potensi tsunami.
Gegaran itu merosakkan lebih 100 rumah dan sekurang-kurangnya enam kemudahan awam di ibu kota wilayah Bengkulu, menurut jurucakap agensi mitigasi bencana kebangsaan atau BNPB, Abdul Muhari dalam sidang media.
“Di bandar Bengkulu, 140 rumah terjejas (gempa), lapan daripadanya runtuh, bermakna (ia) tidak dapat dibaiki,” kata Abdul.
Di daerah Bengkulu Tengah, dua rumah rosak ringan akibat gempa bumi tersebut, tambahnya.
Abdul berkata tiada kemalangan jiwa akibat gempa itu dilaporkan setakat pagi Jumaat.
Beberapa penduduk tempatan di Bengkulu dikejutkan oleh gegaran dan segera bergegas keluar.
“Semasa gempa, tingkap rumah (saya) bergegar kuat. Itulah yang menyedarkan kami,” kata Erick Catur Nugroho, 36, kepada AFP.
“Kami secara spontan (mengusung) anak-anak ke luar rumah. Apabila di luar, semua jiran yang saya lihat tiada di rumah mereka, (mereka) berada di depan pintu.”
Negara kepulauan yang luas itu sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di ‘Lingkaran Api Pasifik’, satu lengkok kawasan yang kerap berlaku aktiviti seismik di mana plat tektonik yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik berlanggar.
Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang menggegarkan Sulawesi pada Januari 2021 lalu telah mengorbankan lebih 100 nyawa dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal. – AFP
