PHNOM PENH, 13 JUN – Bank Dunia berkata kemiskinan kekal menjadi kebimbangan utama di Myanmar selepas gempa bumi menjejaskan pertumbuhan ekonomi, mengakibatkan 17 juta penduduk menghadapi kesusahan ekonomi.
Dalam laporan terbaharunya, institusi kewangan global itu berkata impak gempa bumi pada Mac lepas terus menjejaskan kehidupan dan mata pencarian, sekali gus memburukkan lagi keadaan sedia ada yang amat sukar di negara itu.
“Gempa bumi baru-baru ini telah memburukkan kemiskinan dengan ketara. Penggunaan isi rumah dianggarkan merosot sebanyak 3.9 peratus selepas gempa bumi itu.
“Kemiskinan kekal tinggi dalam kalangan kumpulan rentan di Myanmar iaitu termasuk pelarian dalam negara, individu kurang upaya, pekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan serta isi rumah yang diketuai wanita,” menurut laporan Myanmar Economic Monitor June 2025 daripada Bank Dunia.
Gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda tengah Myanmar pada 28 Mac, ketika negara itu masih belum pulih sepenuhnya daripada tragedi Taufan Yagi pada September tahun lepas.

Bencana alam itu telah memburukkan kadar inflasi, kemiskinan, kekurangan bekalan tenaga dan ketakjaminan makanan.
Selain itu, konflik berterusan antara kerajaan yang diketuai tentera Myanmar dan kumpulan etnik bersenjata turut memburukkan lagi keadaan ekonomi negara itu.
Menurut Bank Dunia, kadar kemiskinan berada pada tahap 31 peratus tahun lepas, menyebabkan kira-kira 17 juta penduduk berada dalam kemiskinan pada 2024.
Bank Dunia menganggarkan jumlah kerosakan ke atas aset fizikal mencecah kira-kira RM47 bilion.
Menurut media rasmi, The Global New Light of Myanmar, seramai 3,745 orang terkorban manakala 61 lagi masih hilang dalam bencana Mac lepas. – Bernama