MAKASSAR, Indonesia, 28 Sept – Satu gempa bumi kuat telah menggegarkan tengah Indonesia hari ini, menyebabkan terjadinya tsunami yang menghempas sebuah bandar di pulau Sulawesi, di mana para pegawai menyatakan bahawa gegaran telah meratakan ‘banyak’ bangunan.
Gempa bumi sekuat 7.5 magnitud itu telah mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat, yang melarikan diri ke jalan-jalan rata dan bergegas ke kawasan lebih tinggi kerana bimbangkan tsunami.
Tetapi satu video dramatik yang dirakam di tingkat atas bangunan tempat letak kereta di Palu, sebuah bandar yang mempunyai 350,000 penduduk dan kira-kira 80 kilometer dari pusat gempa, menunjukkan ombak besar tsunami menghempas beberapa buah bangunan dan sebuah masjid.
Ketua bagi agensi divisyen gempa bumi dan tsunami, Rahmat Triyoni, kemudian mengesahkan bahawa bandar itu telah dilanda oleh tsunami.
Penduduk yang tinggal ratusan kilometer dari pusat gempa melaporkan adanya gegaran, beberapa jam selepas gegaran kecil mengorbankan sekurang-kurangnya seorang di kawasan yang sama.
Tidak terdapat laporan segera mengenai kematian atau kecederaan selepas gegaran terbaharu itu, namun ia lebih kuat berbanding siri gegaran yang mengorbankan ratusan orang di pulau Lombok musim panas lalu.
Gempa itu terjadi tidak jauh dari pusat Sulawesi dengan kedalaman 10 kilometer kira-kira jam 6 petang waktu setempat, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (AS).
“Terdapat beberapa laporan bahawa bangunan runtuh ketika gempa bumi terjadi,” menurut seorang jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.
“Penduduk panik dan kelam-kabut keluar dari rumah masing-masing.”
Beberapa gambar yang dihantar oleh agensi itu menunjukkan sebuah gedung beli-belah rosak teruk di Palu, di mana sekurang-kurangnya satu tingkat runtuh ke atas tingkat bawahnya.
Beberapa gambar lain menunjukkan beberapa kerosakan besar pada bangunan, dengan runtuhan memenuhi jalan-jalan raya dan rekahan besar di sepanjang laluan pejalan kaki.
Satu video Facebook menunjukkan kesesakan lalu lintas di beberapa bahagian kawasan rantau itu apabila penduduk mula memenuhi barangan ke dalam kereta, trak dan motosikal untuk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi kerana bimbangkan tsunami. – AFP