BEIJING, 7 JAN – Satu kejadian gempa dahsyat berlaku hari ini di kawasan terpencil di wilayah Tibet, China mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang dan ‘banyak bangunan’ roboh, lapor media kerajaan.
Gegaran turut dirasakan di ibu kota Nepal, Kathmandu dan beberapa bahagian di India.
Video yang diterbitkan oleh penyiar kerajaan China, CCTV menunjukkan rumah-rumah musnah dengan dinding runtuh.
Anggota penyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan selepas kejadian gempa, menurut video yang diterbitkan, sementara beberapa orang penduduk mengagihkan selimut untuk memanaskan badan semasa suhu di bawah sifar.
Imej tinjauan yang diterbitkan CCTV menunjukkan orang ramai berlari melalui lorong kedai ketika rak bergegar dengan kuat, menyebabkan objek seperti mainan jatuh ke lantai.
“Sejumlah 95 orang telah disahkan meninggal dunia, manakala 130 lagi mengalami kecederaan setakat jam 3 petang (0700 GMT),” lapor agensi berita Xinhua.
Lebih daripada 1,000 buah rumah mengalami kerosakan, menurut laporan terdahulu Xinhua.
Gempa kuat melanda Daerah Tingri dengan kekuatan berukuran 6.8 magnitud berhampiran sempadan Nepal pada 9:05 pagi, menurut Pusat Rangkaian Gempa China (CENC). Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gegaran berukuran 7.1 magnitud.
Sangji Sangzhi, pemilik pasar raya di Daerah Tingri yang mengalami kerosakan teruk, menggambarkan situasi sebagai ‘sangat serius’ dengan ambulans membawa mangsa ke hospital sepanjang hari.
“Di sini kebanyakan rumah diperbuat daripada lumpur, jadi bila gempa bumi berlaku banyak rumah runtuh,” kata Sangzhi, 34, yang pulang ke rumah dari Shigatse selepas gegaran berlaku, memberitahu AFP melalui panggilan telefon. – AFP