Friday, April 25, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa kuat cetus tsunami di Jepun

    TOKYO, 1 JAN – Ombak tsunami setinggi lebih satu meter melanda tengah Jepun hari ini selepas beberapa siri gempa bumi kuat yang memusnahkan kediaman, menutup lebuh raya dan mendorong pihak berkuasa menggesa orang ramai lari ke tempat yang lebih tinggi.

    Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda rantau Noto di wilayah Ishikawa sekitar 4:10 petang (0710 GMT), kata Jabatan Geologi AS (USGS).

    Agensi kaji cuaca Jepun melaporkan 21 gempa bumi berturut-turut berukuran 4.0 magnitud atau lebih kuat melanda wilayah tengah negara itu dalam masa lebih 90 minit.

    Ombak tsunami setinggi 1.2 meter (4 kaki) membadai pelabuhan Wajima di wilayah Ishikawa pada 4:21 petang (0721 GMT), kira-kira 10 minit selepas gegaran paling kuat, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

    “Semua penduduk mesti berpindah segera ke tempat yang lebih tinggi,” menurut syarikat penyiaran nasional NHK selepas gempa bumi.

    Orang ramai berdiri dekat rekahan besar di laluan jalan kaki selepas gempa bumi kuat melanda bandar Wajima, Ishikawa pada 1 Januari. – AFP

    Gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku dalam jarak 300km dari pusat gempa di sepanjang pantai, di sebelah Laut Jepun di pulau utama Jepun Honshu, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii.

    Tetapi tsunami yang lebih tinggi setinggi lima meter dijangka tiba di Noto di wilayah yang sama, kata JMA.

    Kerajaan Jepun berkata ia masih menilai kerosakan yang telah berlaku dan sama ada terdapat sebarang kemalangan jiwa.

    Kira-kira 33,500 isi rumah di sekitar pusat gempa, di wilayah Toyama, Ishikawa dan Niigata, terputus bekalan elektrik, menurut syarikat utiliti tempatan.

    Laporan televisyen menunjukkan sebuah bangunan terbakar di bandar Wajima di Ishikawa dan wartawan AFP berkata rumah bergegar di tengah Tokyo. Klip video yang disiarkan dalam platform media sosial X menunjukkan barisan rumah kayu yang tumbang akibat gempa bumi, dengan dinding dan bumbung runtuh.

    “Ini adalah daerah Matsunami di Noto. Kami berada dalam keadaan yang mengerikan. Sila datang dan bantu kami. Pekan saya berada dalam keadaan yang mengerikan,” kata seseorang yang didengari dalam video itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda