JAKARTA/MANILA, 2 NOV – Dua gempa bumi kuat telah menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Timur di tengah Indonesia dan wilayah Samar Timur di tengah Filipina, hari ini.
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Timur di tengah Indonesia, tetapi tidak menyebabkan ombak gergasi, kata agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik negara itu BMKG.
Agensi itu terlebih dahulu mengeluarkan gempa pada magnitud 6.6 sebelum menyemaknya. Gempa bumi itu, yang berpusat di darat, melanda pada 4:04 pagi waktu Jakarta, menurut agensi itu.
Lokasi pusat gempa adalah 15 kilometer (km) tenggara bandar Kupang wilayah itu dan pada kedalaman 25km, katanya.
Gegaran gempa tersebut tidak berpotensi mencetuskan tsunami, menurut agensi itu.

Beberapa gegaran susulan yang diklasi-fikasikan sebagai pada paras lemah menyusuli gegaran utama, tambahnya.
Bagaimanapun, gegaran itu menyebabkan kerosakan kecil pada beberapa rumah dan bangunan pejabat di bandar raya Kupang dan di luarnya, menurut Gani Losa Manisa, ketua unit kecemasan agensi pengurusan dan mitigasi bencana wilayah.
Sementara itu, gempa bumi luar pesisir dengan magnitud awal 6.1 menggegarkan wilayah Samar Timur di tengah Filipina petang tadi, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
Institut itu berkata gempa berkenaan, yang berlaku pada 2:50 petang waktu tempatan, melanda pada kedalaman 48km, kira-kira 51km timur laut bandar Hernani.
Gempa tektonik itu boleh mencetuskan gegaran susulan dan menyebabkan kerosakan. Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan. – Xinhua