MANILA, 10 OKT – Gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud melanda kawasan perairan selatan Filipina hari ini, meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencetuskan amaran tsunami serantau yang kemudian ditarik balik.
Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku kira-kira 20 kilometer dari bandar Manay di wilayah Mindanao pada pukul 9:43 pagi waktu tempatan.
Gempa ini berlaku hanya 11 hari selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang meragut 75 nyawa dan mencederakan lebih 1,200 orang di wilayah Cebu, menurut data rasmi.
Tiga pelombong emas maut apabila terowong mereka runtuh di kawasan pergunungan barat Manay, kata pegawai penyelamat Kent Simeon dari bandar Pantukan kepada AFP.
Seorang pelombong berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat manakala beberapa yang lain cedera.

“Beberapa terowong runtuh, tetapi para pelombong berjaya keluar. Di kawasan itu, hanya satu kejadian dilaporkan,” kata Simeon, menambah bahawa pasukan penyelamat menarik diri dari lokasi terpencil Gumayan yang hanya boleh diakses menggunakan motosikal pacuan tanah.
Di bandar Mati, pusat bandar terbesar berhampiran pusat gempa, seorang maut selepas dinding runtuh manakala seorang lagi meninggal dunia akibat serangan jantung, kata pegawai tempatan.
Satu lagi kematian dilaporkan di bandar Davao, lebih 100 kilometer ke barat dari pusat gempa, menurut kenyataan kerajaan bandar tanpa memberikan butiran lanjut.
Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan amaran tsunami sejurus selepas gempa berlaku, mengarahkan pemindahan penduduk di pesisir timur yang berisiko dilanda ombak setinggi tiga meter.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik menarik balik amaran untuk Filipina, Palau dan Indonesia sekitar tengah hari, dengan menyatakan bahawa tiada lagi ancaman tsunami. – AFP

