Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa magnitud 3.4 gegar kawasan pengeluaran gas di Belanda

    AMSTERDAM, 14 NOV – Gempa bumi berukuran 3.4 magnitud menggegarkan wilayah utara Belanda hari ini, menjadikannya antara yang terkuat pernah direkodkan di kawasan yang lama terjejas akibat aktiviti pengeluaran gas.

    Menurut Institut Meteorologi Diraja Belanda (KNMI), gempa yang berlaku pada 1:16 pagi itu merupakan kejadian ketiga terkuat di wilayah Groningen.

    Tiada kecederaan dilaporkan namun Institut Pengurusan Kerosakan (IMG) memaklumkan pihaknya menerima 66 aduan kerosakan, termasuk 12 penduduk melaporkan berada dalam situasi ‘Tidak Selamat Secara Akut’.

    Perdana Menteri sementara, Dick Schoof berkata di laman X bahawa gegaran tersebut ‘masih dirasai di Groningen’, menyifatkannya sebagai peringatan jelas mengenai kesan berpanjangan aktiviti pengeluaran gas di wilayah berkenaan.

    Pada 2024, medan gas Groningen, yang terbesar di Eropah, ditutup sepenuhnya selepas puluhan tahun penduduk tempatan trauma akibat beberapa siri kejadian gempa bumi.

    KNMI menjelaskan walaupun gempa bumi dijangka berhenti selepas pengeluaran gas dihentikan, tempoh sebenar tidak dapat dipastikan.

    “Bilangan gempa akan berkurangan, begitu juga kekuatannya. Namun, proses itu boleh mengambil masa bertahun-tahun dan kejadian gempa kuat masih berkemungkinan berlaku,” kata institut berkenaan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda