Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa magnitud 6.4 gegar Taiwan, 27 cedera

    TAIPEI, 21 JAN – Gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda selatan Taiwan awal pagi tadi, meninggalkan 27 orang dengan kecederaan ringan serta beberapa laporan kerosakan kecil, menurut pihak berkuasa.
     
    Gempa itu berlaku pada pukul 12:17 pagi dengan pusat gempa terletak 38 kilometer tenggara Dewan Wilayah Chiayi pada kedalaman 10 kilometer, lapor Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan. 
     
    Kajian Geologi AS mengukur gempa tersebut pada magnitud lebih rendah 6.
     
    Terdapat laporan kerosakan ringan di sekitar bandar Chiayi dan Tainan. 
     
    Jabatan bomba Taiwan melaporkan 27 individu telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan kecederaan ringan. 
     
    Gambar menunjukkan botol dan tin bertaburan di atas lantai di sebuah kedai serbaneka di Tainan, Taiwan selepas gempa bumi kelmarin. – AP
    Enam orang, termasuk seorang anak damit berusia satu bulan, yang diselamatkan dari rumah yang runtuh di daerah Nanxi, Tainan. Manakala jambatan Zhuwei di lebuh raya wilayah dilaporkan mengalami kerosakan.
     
    Tiada kematian dilaporkan setakat ini, walaupun pasukan penyelamat masih menilai kerosakan di kawasan terjejas. 
     
    Dua orang di Tainan dan seorang lagi di Chiayi berjaya diselamatkan tanpa kecederaan selepas terperangkap dalam lif.
     
    Gempa tersebut juga mencetuskan kebakaran di sebuah kilang percetakan di Chiayi, tetapi api berjaya dipadamkan tanpa sebarang laporan kecederaan.
     
    Pada April lalu, gempa bermagnitud 7.4 melanda pantai timur pergunungan Hualien, mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan lebih 1,000 yang lain. 
     
    Gempa paling kuat dalam tempoh 25 tahun itu diikuti dengan ratusan gegaran susulan.
     
    Taiwan terletak di sepanjang ‘Lingkaran Api Pasifik’, iaitu garis gelinciran seismik yang mengelilingi Lautan Pasifik di mana kebanyakan kejadian gempa bumi di dunia berlaku. – AP 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda