Friday, January 17, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa mega mungkin terjadi 30 tahun akan datang

    TOKYO, 16 JAN – Panel kerajaan Jepun hari ini melaporkan peningkatan sedikit terhadap anggaran kebarangkalian berlakunya ‘gempa mega’ kepada 75 hingga 82 peratus dalam tempoh 30 tahun akan datang.

    Gempa bumi besar yang dijangka itu berpotensi mencapai magnitud 8 hingga 9, mencetuskan tsunami besar, mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan kerugian bernilai berbilion dolar, menurut pakar.

    Jawatankuasa Penyelidikan Gempa Bumi berkata anggaran kebarangkalian tersebut telah dinaikkan kepada antara 75 dan 82 peratus berbanding anggaran sebelumnya iaitu antara 74 dan 81 peratus.

    Gempa itu melibatkan apa yang dikenali sebagai gempa mega subduksi di Nankai Trough, sebuah celah bawah laut sepanjang 800 kilometer yang sejajar dengan pantai Pasifik Jepun.

    Lembah tersebut terletak di kawasan di mana plat tektonik lautan Filipina sedang ‘subduksi’ iaitu secara perlahan-lahan meluncur di bawah plat benua tempat Jepun berada.

    Plat itu terhenti ketika bergerak, menyimpan sejumlah besar tenaga apabila ia dilepaskan dan boleh menyebabkan gempa bumi besar.

    Berdasarkan data kerajaan, gempa mega di Nankai Trough telah berlaku setiap 100 hingga 200 tahun dalam tempoh 1,400 tahun yang lalu.

    Gempa terakhir seperti ini berlaku adalah pada tahun 1946.

    “Sudah 79 tahun sejak gempa terakhir berlaku dan kemungkinan gempa lain semakin meningkat setiap tahun pada kadar kira-kira satu peratus,” menurut seorang pegawai sekretariat jawatankuasa itu kepada media. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda