WELLINGTON, New Zealand, 28 Feb – Gempa bumi yang kuat dua hari lalu membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, puluhan orang tercedera dan menjejaskan operasi di empat medan minyak dan gas di rantau Papua New Guinea, kata pegawai tempatan hari ini.
Ulasannya merupakan pengesahan kematian pertama dari pegawai peringkat tertinggi selepas gempa bumi dengan magnitud 7.5 menjejaskan komunikasi dan menyekat jalan raya di wilayah tengah, menghalang penilaian terhadap kemusnahan.
Pusat Bencana Kebangsaan enggan memberi bilangan tatkala ia sedang menilai tahap kerosakan akibat gempa bumi tersebut.
Seorang pegawai Tanah Tinggi Selatan William Powi memberitahu The Associated Press bahawa komunikasi masih terjejas dan angka kematian mungkin meningkat. “Kami melihat malapetaka dan kemusnahan,” kata Powi.
Empat orang di ibu kota wilayah, Mendi, terbunuh ketika rumah mereka runtuh dan tiga terbunuh ketika rumah mereka terlibat dalam kejadian tanah runtuh, kata Powi. Lapan orang yang lainnya terbunuh di tempat lain.

“Sebahagian mereka mengalami perasaan trauma akibat kejadian yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini,” kata Powi.
“Ia benar-benar memberikan satu kejutan dan ketakutan kepada masyarakat.”
Powi berkata tiga ladang minyak dan loji gas asli cecair yang dijalankan oleh ExxonMobil Papua New Guinea telah menghentikan operasi buat masa ini kerana mereka sedang menilai kerosakan yang berlaku.
Gempa itu juga mengganggu kerja-kerja di perlombongan emas yang besar dan di ladang kopi di rantau ini.
Powi berkata kebanyakan jalan ketika ini tersekat oleh tanah runtuh. Kebanyakan penduduk tinggal di kawasan berkenaan, kata Powi, di mana kebun dan tanaman mereka juga turut musnah dalam kejadian tersebut.
“Kami memerlukan bantuan besar-besaran,” kata Powi. “Kami memerlukan makanan, penyelenggaraan infrastruktur bagi memberi keselesaan kepada orang-orang yang tiada tempat tinggal dan berpindah.”
Kerajaan Australia berkata ia menyediakan C-130 Hercules untuk menjalankan pengawasan udara dan menyediakan sokongan logistik. – AP