PALU, 30 Sept – Jumlah korban disebabkan bencana gempa bumi dan tsunami di Indonesia mencecah 832 orang hari ini, ketika orang ramai di pulau Sulawesi masih terkejut, bergelut untuk mendapatkan makanan dan minuman, sementara kes curi pula berleluasa.
Jumlah korban terbaharu itu diumumkan oleh agensi bencana kebangsaan, hampir dua kali ganda berbanding jumlah sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri Indonesia, Jusuf Kalla berkata bahawa jumlah akhir korban bencana mungkin mencecah ‘ribu’ ketika banyak kawasan masih gagal dicapai.
“Ia sangat tegang,” kata seorang ibu berusia 35 tahun, Risa Kusuma, semasa ditemui bersama anak damitnya di pusat pemindahan di Palu.
“Setiap minit ambulan membawa mayat. Sumber air sangat sukar. Kedai-kedai runcit habis mengalami kecurian.”



Metro TV Indonesia hari ini menyiarkan video dari komuniti Donggala, yang berdekatan dengan pusat gempa, di mana beberapa buah rumah yang terletak di tepi pantai musnah namun seorang penduduk berkata sebahagian besar penduduk sempat melarikan diri ke kawasan tinggi selepas gempa terjadi.
“Apabila gegaran sangat kuat, kami semua berlari ke kawasan bukit,” kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Iswan kepada Metro TV.
Presiden Indonesia, Joko Widodo tiba di kawasan itu petang hari ini untuk menyaksikan sendiri kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami.
Di Bandar Palu, bantuan mula tiba di mana tentera Indonesia telah dikerahkan dan para pekerja mencari dan menyelamat bekerja keras membersihkan runtuhan untuk mencari mangsa yang terselamat.
“Kami berjaya mengeluarkan seorang wanita yang masih hidup dari sebuah hotel semalam,” kata ketua bagi agensi mencari dan menyelamat kebangsaan, Muhammad Syaugi kepada AFP.
“Apa yang sangat kami perlukan adalah jentera berat untuk membersihkan runtuhan ini. Meskipun saya mempunyai ramai kakitangan di sana, ia mustahil untuk hanya bergantung pada kekuatan mereka sahaja bagi membersihkan semua ini.” – AFP