Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa: Tujuh maut, dua hilang

    MANILA, 19 NOV – Angka kematian akibat gempa bumi kuat di selatan Filipina meningkat kepada tujuh kelmarin, manakala penyelamat turut mencari dua lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah tanah runtuh.

    Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang melanda wilayah Mindanao tengah pada Jumaat lalu menyebabkan sebahagian siling di sebuah bangunan pusat membeli-belah runtuh, mengakibatkan bekalan elektrik terputus, menyebabkan orang ramai melarikan diri ke jalan raya.

    Serpihan yang jatuh dari bangunan pusat membeli-belah di General Santos City telah mengorbankan ​​seorang wanita, kata kapten polis bandar raya setempat, Ari Noel Cardos kepada AFP.

    Pihak polis sebelum ini melaporkan kematian pasangan yang tersepit di bawah tembok konkrit yang runtuh di General Santos.

    Seorang lagi terbunuh akibat struktur keluli yang tumbang di perbandaran Glan, di wilayah Sarangani, kata pegawai polis, Paul Mesalido kepada AFP.

    Pasukan bomba telah menggali dengan penyodok ketika mereka melakukan pencarian dua ahli keluarga yang dikhuatiri tertimbus di bawah tanah runtuh di sebuah perkampungan pergunungan terpencil kira-kira empat jam memandu dari Glan, kelmarin, kata penyelamat Daniel Nocos kepada AFP.

    “Ketua kampung melaporkan kepada kami bahawa seorang ibu dan anaknya terperangkap di bawah runtuhan,” kata Nocos.

    Sebuah jengkaut telah dikerahkan untuk membantu mencari tetapi masih belum sampai ke kawasan itu kerana jalan teruk dan jambatan rosak, katanya.

    Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan rasmi di Manila melaporkan kematian kedua di Glan dan satu lagi di perbandaran Malapatan bersebelahan tetapi tidak memberikan butiran lanjut. – AFP

    Para sukarelawan membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Koronadal, South Cotabato, selatan Filipina, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda