NAIROBI, 28 JULAI – Seekor singa mencetuskan panik hari ini selepas tersesat dari habitatnya di Taman Negara Nairobi dan memasuki kawasan perumahan semasa kesibukan waktu pagi di ibu negara Kenya.
Singa jantan itu ditemui oleh penduduk panik dalam parit di belakang tembok konkrit dan beberapa kepingan besi di Ongata Rongai, sebuah kawasan perumahan yang bersempadan dengan taman.
Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) dipanggil untuk mengawal situasi dan menghantar renjer dan kakitangan veterinar ke tempat kejadian, di mana orang ramai telah berkumpul untuk melihat haiwan itu.
“Singa diberi ubat pelali dan berjaya dipindah ke pusat veterinar untuk pemantauan lanjut sebelum dilepaskan semula ke taman,” kata KWS dalam satu kenyataan.
“Keadaan panik yang dicetuskan oleh singa ini adalah besar kerana kanak-kanak terlewat pergi ke sekolah dan penduduk ke tempat kerja,” kata Roselyn Wangare, seorang pelajar universiti.
Jackson Mwangi, penduduk Ongata Rongai, berkata KWS perlu memperketat keselamatan di taman itu.
“Pada akhirnya, ia membabitkan keselamatan kami, taman tidak terkawal dengan baik dan itulah sebebnya haiwan terlepas,” kata beliau. – AFP