COPENHAGEN, 15 JAN – Raja Frederik X dari Denmark, 56, merenung kembali peralihan takhta baginda yang penuh emosi dengan kata-kata peribadi pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Untuk menggantikan bonda saya tanpa perlu mengucapkan selamat tinggal, merupakan satu keistimewaan yang besar,” catat putera Ratu Margrethe II, yang turun takhta setahun lalu, di Instagram dan Facebook.
“14 Januari 2024, merupakan hari yang penuh emosi dan tidak dapat dilupakan dari awal hingga akhir.”
Keluarga diraja mengeluarkan beberapa gambar Frederik dan keluarganya di belakang tabir yang diambil tidak lama sebelum peralihan kepada pemerintahannya.
Tidak lama selepas itu, Frederik melangkah ke balkoni Istana Christiansborg di Copenhagen di tengah-tengah sorakan orang ramai, menyaksikan Perdana Menteri Mette Frederiksen mengisytiharkannya sebagai raja baharu.
Peralihan itu menandakan perubahan paling ketara dalam beberapa dekad dalam keluarga diraja Denmark, yang sangat popular.
Ratu Margrethe secara tiba-tiba mengumumkan semasa ucapan Malam Tahun Baharu pada 31 Disember 2023, bahawa selepas memerintah selama 52 tahun, baginda akan menyerahkan takhta kepada puteranya, Frederik. – Bernama