DUBAI, 17 Dis – Gencatan senjata di bandar pelabuhan Hodeida, Yaman dan sekitarnya akan bermula esok (Selasa), kata pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), selepas pertempuran baharu mengancam persetujuan yang dimeterai di Sweden.
Perjanjian itu diumumkan pada Khamis antara kerajaan Yaman yang disokong Saudi dan pemberontak Huthi termasuk ‘gencatan senjata segera’ di Hodeida, yang mana pelabuhan Laut Merah merupakan laluan penting bagi bantuan kemanusiaan.
Pegawai PBB, yang meminta tidak dinamakan, memberitahu AFP bahawa penangguhan kepada pembatalan dalam pertempuran sehingga tengah malam (2100 GMT) Isnin adalah perlu atas ‘sebab operasi’.
Menteri Luar Negeri Yaman, Khaled al-Yamani, yang mengetuai delegasi kerajaan bagi rundingan damai, juga memberitahu televisyen milik kerajaan lewat kelmarin bahawa gencatan senjata akan bermula pada tengah malam ini.
Para penduduk di Hodeida dan kawasan sekitarnya telah melaporkan pertempuran ganas dan serangan udara beberapa hari ini, ketika pertempuran berterusan antara pasukan kerajaan yang disokong Saudi dan Huthi yang bersepakat dengan Iran.
Kira-kira 29 pejuang, termasuk 22 pemberontak Huthi terbunuh pada malam Sabtu di wilayah Hodeida, kata sumber tentera prokerajaan kepada AFP.
Dua penduduk Hodeida yang dihubungi menerusi telefon memberitahu AFP yang mereka boleh mendengar pertempuran sekali-skala berlaku di timur dan selatan bandar itu hari ini.
Pegawai tentera prokerajaan berkata berlaku pertempuran sekali-skala dengan kebakaran meletus di salah sebuah kilang di timur bandar akibat serangan malam semalam. – AFP