DOHA, 22 JAN – Selepas berbulan-bulan rundingan, gencatan senjata telah menghentikan perang berlarutan di Gaza, namun ia berisiko gagal akibat ketidakpercayaan mendalam antara Israel dan pejuang Hamas serta sifat perjanjian yang berperingkat.
Qatar, yang menjadi perantara rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Mesir, telah menyatakan harapan agar gencatan senjata selama enam minggu dan pertukaran tebusan tahanan itu akan kekal.
Namun, hasil itu masih belum pasti kerana pembebasan yang dijadualkan berlangsung dengan sangat perlahan berbanding perjanjian gencatan senjata sebelum ini.
Lebih merumitkan gencatan senjata adalah teks perjanjian itu belum didedahkan kepada umum, yang meningkatkan risiko masalah pada saat akhir dan perbezaan tafsiran oleh pihak-pihak yang terlibat.
“Malangnya, terdapat risiko tinggi gencatan senjata ini menemui kegagalan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan meneruskan kempen ketenteraannya di Gaza,” kata Anna Jacobs dari Institut Negara-negara Teluk Arab di Washington kepada AFP.
Gencatan senjata itu tidak bermula dengan lancar, dibelenggu kelewatan dalam permulaan gencatan senjata dan pertukaran pertama tebusan Israel dan tahanan Palestin apabila ia berkuat kuasa pada Ahad.
Semasa kelewatan selama tiga jam sebelum gencatan senjata dimulakan, agensi pertahanan awam Gaza berkata serangan udara Israel mengorbankan lapan orang dan mencederakan 25 yang lain.
Gencatan senjata itu telah dipantau oleh pihak perantara melalui bilik operasi di Kaherah, kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, kepada Al-Jazeera.
Beliau berkata mereka sedang memantau untuk melihat sama ada syarat-syarat sensitif perjanjian itu dilaksanakan termasuk kemasukan bantuan ke Gaza, pertukaran tahanan dan tebusan, pengunduran tentera Israel dari kawasan yang mempunyai penduduk yang padat serta pemulangan penduduk Gaza yang terpaksa berpindah dari rumah mereka. – AFP