Friday, May 2, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gencatan senjata pasca-gempa di Myanmar tamat

    YANGON, 1 MEI – Junta tentera Myanmar membiarkan tempoh gencatan senjata yang diisytiharkan bagi memudahkan usaha bantuan selepas gempa bumi bulan lalu tamat hari ini, satu gencatan senjata yang menurut pemantau sering dilanggar melalui serangan udara.

    Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 28 Mac lalu di kawasan tengah Myanmar telah meragut hampir 3,800 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal menjelang musim monsun.

    Junta — yang merampas kuasa dalam rampasan kuasa pada 2021 sehingga mencetuskan perang saudara pelbagai pihak — telah mengisytiharkan gencatan senjata pada 2 April dan melanjutkannya minggu lalu setelah kumpulan bantuan memberi amaran mengenai tempoh pemulihan yang panjang.

    Gencatan itu tamat pada tengah malam Rabu tanpa sebarang pengumuman lanjutan oleh pasukan maklumat junta. Jurucakap junta juga tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen kelmarin.

    Pemantau dari Pusat Ketahanan Maklumat yang berpangkalan di Britain merekodkan 65 serangan udara oleh tentera sepanjang tempoh gencatan senjata – banyak daripadanya berlaku di kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa. Ketika tentera berjanji untuk menghentikan serangan, mereka turut memberi amaran kepada kumpulan anti-rampasan kuasa dan kumpulan bersenjata etnik bahawa mereka akan bertindak balas jika pihak lawan membuat kemaraan.

    Dalam tempoh gencatan senjata itu, kumpulan penentang bersenjata telah mengepung beberapa bandar di laluan perdagangan timur yang menguntungkan ke Thailand, menurut penduduk tempatan yang berkata pertempuran telah memaksa ramai orang awam melarikan diri dari kediaman mereka.

    Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu adalah yang terkuat berpusat di daratan Myanmar sejak tahun 1912, dengan tanah merekah sehingga enam meter di beberapa tempat, menurut analisis NASA. – AFP

    Seorang lelaki menunggang motosikal melewati sebuah bangunan runtuh di Mandalay pada 11 April, susulan gempa bumi dahsyat yang berlaku pada 28 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda