DOUMA, Syria, 28 Feb – ‘Gencatan senjata’ yang diumumkan oleh Rusia dalam pengeboman maut di Timur Ghouta, Syria telah gagal menamatkan keganasan semalam, dengan pertumpahan darah baharu dan tidak ada tanda penghantaran bantuan atau para penduduk meninggalkan enklaf yang dikepung.
Sembilan hari selepas pasukan rejim yang dibantu oleh Rusia menggiatkan kempennya ke atas enklaf yang diduduki pemberontak, penghentian itu memberikan kelegaan kepada orang awam yang bersembunyi di tingkat bawah tanah mereka.
Tetapi hari pertama ‘gencatan senjata’ lima jam sehari yang diarahkan oleh Presiden Vladimir Putin Isnin lalu dan bermula pada pukul 9 pagi telah dicemari oleh keganasan yang menyaksikan tujuh orang terbunuh.
Rancangan Moscow tidak mengandungi gencatan senjata 30 hari yang telah dipersetujuinya dengan Majlis Keselamatan Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi yang belum lagi berkuat kuasa dan telah mendorong sedikit kepercayaan dari kalangan 400,000 penduduk enklaf yang dikepung itu.
Pihak rejim telah menghantar bas di tempat pemeriksaan Al-Wafideen untuk membawa para penduduk yang menggunakan koridor kemanusiaan untuk lari dari apa yang pernah digelar oleh ketua PBB, Antonio Guterres ‘neraka dunia’.

Tetapi tidak ada orang awam dilihat menuju ke arah pasukan rejim yang mengawal tempat pemeriksaan, yang mana di situ potret besar Presiden Syria Bashar al-Assad dan Putin dapat dilihat bersebelahan antara satu sama lain.
“Penghentian sementara kemanusiaan’ yang diarahkan oleh Putin mengikut taktik serupa yang digunakan oleh rejim Rusia dan Syria ketika peperangan ganas untuk memaksa para pemberontak keluar dari Aleppo dalam tahun 2016.
Kementerian pertahanan Rusia menuduh kumpulan bersenjata di Timur Ghouta membedil koridor dan berkata para pejuang pemberontak ‘terus menyerang kedudukan pasukan kerajaan’ dan ‘melancarkan serangan di hala lain’.
Agensi berita kerajaan Syria, SANA berkata bekas gabungan Al-Qaeda yang berada di enklaf itu menyekat orang awam ‘untuk menggunakan mereka sebagai perisai manusia’.
Sebilangan penduduk meninggalkan tingkat bawah tanah tempat mereka bersembunyi selama berhari-hari untuk memeriksa harta benda mereka dan membeli makanan.
Tetapi ramai orang di enklaf, yang terletak di pinggir timur ibu negara Syria, nampaknya tidak mempercayai ‘gencatan senjata’ yang diumumkan sekutu utama Damsyik. itu – AFP