Wednesday, February 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Generasi muda cerahkan masa depan England

    LONDON – Pada satu ketika apabila England dikecam oleh penyokong mereka sendiri selepas satu kempen sukar kelayakan Piala Dunia, prodigi negara itu kelihatannya menawarkan harapan bagi masa depan yang lebih cerah.

    Barisan muda England menikmati kemenangan 5-2 ke atas Sepanyol di final Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Kolkata minggu lepas, mencipta tempoh luar biasa di mana barisan muda negara itu mendominasi pentas global.

    Dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini, England B-17 dan B-20 telah dimahkotakan juara dunia, sementara B-20 menjuarai Kejuaraan Eropah.

    Skuad gabungan peringkat umur England juga berjaya mempertahankan gelaran berprestij Toulon pada bulan Jun dan pasukan belia negara itu hanya tewas dua kali, kedua-duanya menerusi penentuan penalti, dalam 34 perlawanan kejohanan.

    Rentetan kejayaan itu mencetuskan perbezaan daripada prestasi skuad senior Gareth Southgate dalam laluan mereka ke Piala Dunia tahun depan di Rusia.

    Pasukan B-17 England meraikan kemenangan Piala Dunia FIFA B-17 selepas menewaskan Sepanyol di Kolkata, India. – AP
    Skuad senior England sering mendapat kecaman dan kritikan daripada penyokong mereka sendiri kerana gagal menyerlah di pentas kejohanan utama dunia seperti Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah (Euro). – AP

    Para penyokong yang sudah jemu membuang kapal kertas ke dalam padang di sepanjang perlawanan membosankan menentang Slovenia, yang menawarkan sedikit harapan bahawa England boleh memperbaiki rekod buruk di kejohanan utama.

    Dihantui dengan penyingkiran memalukan Euro 2016 kepada pasukan kerdil Iceland dan tersingkir dalam peringkat kumpulan di Piala Dunia 2014, England masih belum mara ke peringkat separuh akhir kejohanan sejak Euro 96 dan satu-satunya trofi mereka adalah Piala Dunia 1966.

    Kegagalan tahun-tahun itu menjadikan prospek kebangkitan belia England menarik.

    Tetapi persoalan masih timbul sama ada mereka boleh mengubah potensi besar itu menjadi kejayaan berpanjangan, pertama dalam kelab-kelab Liga Perdana dan kemudian di pentas antarabangsa.

    Chelsea menyumbangkan 19 orang pemain, lebih daripada kelab lain, bagi pergerakan belia England dan bos Chelsea, Antonio Conte yakin bahawa perkembangan itu akan berkekalan.

    Kesabaran tipis

    “Saya fikir bola sepak di England berkembang dengan cara yang luar biasa,” kata Conte.

    “Skuad B-19 menang, B-20 menang dan B-21 juga bermain dengan sangat baik di Kejuaraan Eropah.

    “Saya pasti di masa depan ia akan menjadi sukar untuk menewaskan pasukan kebangsaan England.”

    Generasi muda ini menjadi harapan England pada masa depan selepas kegagalan skuad senior meraih sebarang kejuaraan dunia sejak 1966. – AP
    Pemenang Kasut Emas, Rhian Brewster (kiri) dan pemenang Bola Emas Philip Foden (kanan) ketika menerima trofi masing-masing selepas beraksi cemerlang di Piala Dunia FIFA B-17 di India. – AP

    Meskipun dengan sikap optimis Conte, ia masih sukar untuk percaya kelab-kelab teratas Liga Perdana, yang kerap berbelanja besar untuk mendapatkan pemain luar bagi kejayaan segera, akan mempunyai kesabaran bagi membolehkan pemain muda berkembang.

    Pemain Liverpool, Rhian Brewster telah menjaringkan lapan gol dalam Piala Dunia B-17, sementara Phil Foden dari Manchester City menjaringkan dua gol ke atas Sepanyol dan dinamakan pemain terbaik kejohanan.

    Kembali di kelab mereka, Brewster dan Foden sukar untuk memecah masuk ke dalam pasukan yang dipenuhi dengan barisan serangan berbakat.

    Tetapi bos City, Pep Guardiola menawarkan harapan, dengan berkata: “Phil sudah bersama kami sejak awal musim dan telah bermain dengan cemerlang menentang Manchester United dan Real Madrid.

    “Dia berlatih dengan kami setiap hari. Dia baru berusia 17 tahun tetapi dia adalah pemain dalam skuad kami.”

    Sebahagian pengkritik mendakwa pemain-pemain muda England terlalu dimanjakan.

    Tetapi bos England B-17, Steve Cooper menegaskan kisah kejayaan terbaru ini telah menafikan teori itu.

    “Pemain-pemain muda yang kami bawa ke dalam pasukan kami adalah kebanggaan kepada generasi mereka.

    “Kadang mereka degil, bergegas dan perkara seperti itu. Jika anda lihat bagaimana mereka berlatih, kerja keras mereka, mereka menunjukkan lebih banyak rasa hormat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda