CHIANG MAI – Memukul bola tenis melintasi gelanggang yang didereti pokok-pokok di utara pergunungan Thailand, sesi latihan persendirian mingguan Connie Chen adalah satu kemewahan yang hampir tidak mampu dimiliki warga China ketika dia tinggal di Shanghai.
China melaksanakan beberapa sekatan COVID-19 paling ketat di dunia semasa pandemik, mengarahkan ratusan juta rakyat di bawah perintah berkurung yang berpanjangan.
Selepas itu, golongan muda – letih dengan pekerjaan yang menjerihkan dan tidak berfaedah – berhijrah ke luar negara.
Dengan proses yang agak mudah untuk mendapatkan visa belajar setahun, kehidupan yang lebih perlahan dan kos sara hidup yang murah, bandar kedua terbesar di Thailand, Chiang Mai telah menjadi destinasi popular.
“Semasa pandemik, keinginan untuk bebas menjadi lebih kuat,” kata Chen, seorang bekas pekerja bank berusia 26 tahun, kepada AFP.



Di ibu negeri kewangan China, Shanghai – dikenakan beberapa sekatan pandemik paling ketat – Chen mempunyai pekerjaan yang stabil dan bergaji tinggi, tetapi tidak berpuas hati dengan masa depan kerjayanya. Selepas pandemik, Chen tahu ada sesuatu perlu diubah.
“Walaupun saya terus melakukan kerja ini sepanjang hayat saya, ia akan tetap seperti ini,” katanya. “Tetapi hidup ini sangat singkat sehingga saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza.”
Chen adalah lambang kebanyakan generasi masa kini. Tidak seperti ibu bapa mereka yang mendapat manfaat daripada ekonomi China yang berkembang pesat ketika itu, golongan muda dibebani oleh ekonomi yang lemah.
Prospek untuk kenaikan pangkat adalah tipis dan persaingan adalah sengit, menyebabkan ramai yang kehabisan tenaga dan keletihan.
Chen meneliti program bahasa asing, memilih Thailand di mana dia dan suaminya, Gordon Lin, berpindah pada Mei di bawah visa pendidikan setahun. Dan kini mereka berazam untuk tinggal di luar negara dalam jangka masa panjang.
“Saya rasa ada banyak peluang di luar dan saya rasa adanya harapan,” katanya. Sekatan COVID-19 di Shanghai mencetuskan bantahan jalan yang segera berubah menjadi demonstrasi di seluruh bandar utama lain di China, mendorong tindakan keras oleh pemerintah komunis negara itu.
Orang yang ditemu bual untuk cerita itu keberatan untuk membincangkan hal politik, tetapi semua menegaskan keputusan mereka untuk berpindah ke luar negara adalah bermotifkan keinginan menjalani gaya hidup berbeza.
Keinginan yang meningkat untuk meninggalkan China boleh dilihat dalam corak di WeChat, aplikasi pesanan China.
Pencarian untuk ‘penghijrahan’ telah meningkat, mencecah 510 juta dalam satu hari pada bulan Oktober lalu, menurut media bahasa China, manakala pada akhir Januari ‘penghijrahanThailand’ dicari lebih 300,000 kali dalam sehari.
Thailand dilihat lebih mudah berbanding Eropah atau Amerika Utara, dengan negara itu menawarkan beberapa jenis visa jangka panjang, termasuk kursus bahasa selama setahun pada harga kira-kira AS$700 hingga AS$1,800.
“Saya fikir terdapat peningkatan mendadak dalam keinginan untuk meninggalkan China,” kata ahli antropologi sosial Xiang Biao, dari Institut Antropologi Sosial Max Planck Jerman.
Thailand telah dianggap oleh ramai warga Cina sebagai negara batu loncatan, katanya, sesuai untuk bereksperimen tinggal di luar negara.
Namun berbanding penghijrahan pada 1990an dan 2000an, apabila ramai yang mengekalkan hubungan dengan China untuk perniagaan, Xiang berkata terdapat trend baharu orang yang ingin berhijrah sepenuhnya.
Beliau menambah sementara golongan ini berpendidikan, mereka tidak semestinya sebahagian daripada golongan elit atau kaya.
“Mereka bersifat kosmopolitan, berfikiran terbuka dan mereka menghargai asas kebebasan.
Tidak semestinya kebebasan politik, tetapi mereka mahu menjalani kehidupan yang mereka rasa sederhana dan bermaruah,” katanya.
Dan tidak seperti generasi terdahulu, mereka tidak berusaha mencari untung nasib di luar negara.
“Ia benar-benar memikirkan persoalan tentang jenis kehidupan yang diingini mereka,” katanya.
Kembali ke gelanggang tenis di Chiang Mai, suami Chen Lin memberikan galakan kepadanya.
Bekas pekerja e-dagang itu telah merancang untuk bekerja keras, menyimpan duit dan kemudian bersara awal. Tetapi dia berasa semakin dibebani oleh pemikiran yang menghantuinya.
“Semuanya tentang pergi ke universiti yang bagus, mencari pekerjaan, menjadi penjawat awam,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.
Chen dan Lin hanya berada di Thailand selama beberapa bulan, hidup dengan wang simpanan sementara mereka memikirkan langkah seterusnya.
Namun bagi Yin Wenhui, sudah tiba masanya untuk meninggalkan tempat itu.
Lelaki berusia 31 tahun itu tiba semasa pandemik, terkandas selepas China menutup sempadannya, tetapi selepas beberapa bulan dia tidak mahu kembali menghadapi tekanan berterusan daripada keluarga dan rakan sebaya untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada kerja.
“Saya berasa lebih bebas di sini. Kehidupan terlalu pantas di China, saya tidak mempunyai kebebasan untuk melakukan perkara yang saya mahu,” katanya kepada AFP.
Kini daripada taksub tentang kerja, dia mengendalikan asrama Chiang Mai bersama rakan-rakan, pergi ke gim setiap hari dan telah belajar memasak.
Memenuhi impian zaman kanak-kanak, dia juga belajar bermain gitar, sesuatu yang tidak disukai ibu bapanya.
“Di sini saya mempunyai lebih banyak masa untuk berfikir, memikirkan jenis kehidupan yang saya mahukan,” katanya.
Kini kebebasan itusudah berakhir dan dia kecewa dengan kehidupan yang perlahan dan bersedia untuk peringkat seterusnya.
“Saya mahu pergi ke negara maju, kerana ia akan lebih baik daripada China atau Chiang Mai dari segi budaya, kerja dan juga gaji,” katanya. – AFP

