Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Generasi muda Jepun tukar budaya jalanan jadi emas Olimpik

    TOKYO – Jepun dahulunya beranggapan bahawa bermain papan selaju adalah cara samseng-samseng jalanan membuang masa tetapi kini negara itu telah berubah menjadi kuasa besar dalam sukan tersebut dan dijangka akan mendominasi Sukan Olimpik Paris pada bulan ini.

    Kanak-kanak semuda usia enam tahun dilihat meluncur laju menaiki tanjakan dan menuruni rel di taman-taman papan selaju di seluruh Jepun, dengan jurulatih mengajarkan teknik-teknik sambil ditunggu berdekatan oleh ibu bapa mereka dengan sabar.

    Ia merupakan imej yang jauh berbeza daripada imej asal budaya jalanan papan selaju, namun ia telah membuahkan hasil yang menakjubkan, dengan Jepun telah memenangi tiga daripada empat pingat emas yang dipertandingkan sukan itu dalam penampilan sulung mereka di Olimpik Tokyo tiga tahun lalu.

    Jurulatih pasukan kebangsaan Jepun, Daisuke Hayakawa memberitahu AFP bahawa jumlah pemain papan selaju telah meningkat tiga kali ganda dan dia percaya pasukannya akan dapat menyapu habis pingat di Paris.

    Berita mengecewakan bagi orang lain, katanya mereka akan sentiasa mempunyai bakat baharu dalam tahun-tahun yang mendatang.

    Yuto Horigome (atas) duduk di atas bahu pegawai pasukan Daisuke Hayakawa selepas acara Akhir Skateboarding Men’s Street Final Siri Kelayakan Olimpik 2024 di Budapest, Hungary pada 23 Jun. – AFP
    Daisuke Hayakawa membuat persembahan semasa wawancara dengan AFP di kawasan latihan papan selaju di Tokyo pada 16 Jun. – AFP
    Kokona Hiraki bertanding dalam saringan awal 1 taman wanita semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Ariake Sports Park Skateboarding di Tokyo pada 4 Ogos 2021. – AFP
    Kanak-kanak berlatih papan selaju di Hot Bowl Skate Park di Sapporo, Jepun pada 4 Ogos 2021. – AFP
    Gambar AFP

    “Ia telah menjadi sesuatu yang kanak-kanak ingin belajar,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.

    “Dahulu ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk berhenti bermain papan selaju.

    Kini ibu bapa membawa anak-anak mereka ke taman papan selaju. Jika kasut atau papan mereka rosak, mereka akan membelikan yang baharu.

    “Ia telah menjadi sukan yang mendapat sokongan kuat,” tambahnya.

    Hayakawa bercakap demikian di taman papan selaju Tokyo yang telah dibuka pada 2022, salah satu daripada taman yang dibuka sejak Olimpik.

    Meskipun berhadapan bahang musim panas, bunyi roda-roda berdenting dengan konkrit dan kayu bergeser dengan besi membingitkan suasana dengan pemain tidak kira muda dan tua giat berlatih.

    “Semuanya telah berubah sepenuhnya disebabkan Olimpik. Ia mempunyai impak besar,” kata Takumi Shimabukuro, yang memerhatikan anak perempuannya berusia sembilan tahun Yuya tanpa rasa gentar melompat naik ke atas dan ke bawah halfpipe.

    Pertandingan-pertandingan antarabangsa biasanya dimenangi oleh orang-orang muda tetapi usia pemenang-pemenang pingat Jepun di Olimpik Tokyo telah menarik perhatian daripada kebiasaannya.

    Kokona Hiraki memenangi pingat perak dalam pertandingan Taman Wanita pada usia 12 tahun, sementara, pemenang pingat emas Jalanan Wanita, Momiji Nishiya pula berusia 13 tahun.

    Jepun akan bertandang ke Paris bersama skuad muka baharu dengan menampilkan pasangan berusia 14 tahun iaitu prodigi Ginwoo Onodera dan pemain Jalanan Wanita, Coco Yoshizawa.

    Hayakawa percaya ketidakgentaran orang muda merupakan faktor besar dalam kejayaan Jepun di Tokyo.

    “Mereka terlalu muda untuk memahami kepentingan Olimpik,” katanya.

    “Mereka tidak begitu tahu betapa besarnya pentas di mana mereka bertanding, oleh itu mereka tidak berasa gementar.”

    Pasukan Jepun ke Paris juga akan menampilkan juara bertahan Jalanan Lelaki Yuto Horigome, yang berjaya menempah tempatnya setelah memenangi pertandingan kelayakan di Budapest pada Jun.

    Lelaki berusia 25 tahun itu hampir terlepas peluang setelah persembahan yang mengecewakan pada acara kelayakan sebelumnya tetapi dia akhirnya berjaya pada saat genting.

    Hayakawa menggambarkan Horigame sebagai negarawan tua yang menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda Jepun.

    “Dia meletakkan matlamatnya tinggi, dia memasuki pertandingan-pertandingan antarabangsa, dia menjadi semakin bagus dan bagus dan telah dikenali sebagai pemain terbaik jalanan di dunia,” kata Hayakawa.

    “Kanak-kanak muda melihatnya dan berfikir, ‘Jika Yuto boleh melakukannya, kami juga boleh.’”

    Horigame berazam untuk mempertahankan gelaran jalanannya di Paris tetapi dia akan berhadapan dengan saingan hebat daripada rakan-rakan sepasukannya sendiri.

    Sora Shirai adalah juara dunia bertahan, manakala Onodera memperoleh tempat kedua di Budapest, di mana separuh daripada lapan finalis adalah dari Jepun.

    Persaingan untuk mendapatkan tempat di dalam skuad sangat sengit sehinggakan pemenang pingat perak dunia, Kairi Netsuke gagal terpilih.

    “Ia benar-benar terasa seperti awda mewakili negara awda,” kata Horigome setelah berjaya mendapatkan tempatnya.

    “Ia berbeza daripada pertandingan-pertandingan lain.”

    Jurulatih Hayakawa mula bermain papan selaju hampir 40 tahun lalu dan telah melihat sukan itu berubah daripada asal usulnya yang dipandang serong hinggalah menjadi sukan di Olimpik.

    Katanya dia akan gembira sekiranya kejayaan di Paris dapat menarik lebih ramai kanak-kanak untuk bermain papan selaju dan percaya Jepun akan sentiasa menjadi tempat yang melahirkan banyak bakat.

    “Kami tekun dan kami banyak berlatih,” katanya.

    “Kami memikirkan cara terbaik untuk memenangi pertandingan. Kami tidak mempunyai tubuh badan yang besar, oleh itu cara kami menggerakkan badan sesuai untuk bermain papan selaju.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda