Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Generasi Tionghua perlu teruskan khazanah seni kaligrafi Cina

    GUA MUSANG – Generasi muda kaum Tionghua perlu mempelajari dan meneruskan tradisi seni kaligrafi yang menjadi lambang kebudayaan masyarakat itu terutama menjelang Tahun Baharu Cina.

    Pereka grafik yang merupakan ahli Persatuan Seni Lukis Cina Kota Baharu, Lee Her Shin, 32, berkata kemahiran melukis dan menulis kaligrafi Cina hanya boleh diasah melalui proses pembelajaran dan latihan dilakukan secara berterusan.

    Mula berkecimpung dalam bidang lukisan kaligrafi pada 2019 dengan meneruskan legasi bapanya yang telah meninggal dunia, Lee bergerak atas kesedaran golongan pelapis perlu cakna terhadap seni dan kebudayaan.

    “Orang muda perlu mengambil tahu tentang kesenian ini dan mula berlatih supaya ia tidak hilang ditelan arus kemodenan, mereka perlu mahir memegang berus, mengawal pergerakan tangan dan mengetahui kedudukan tangan yang betul ketika menulis atau melukis kaligrafi.

    “Sekarang kita lihat kesedaran mereka terhadap kaligrafi semakin kurang dan hanya golongan tua yang tahu membuat kaligrafi apabila tiba musim tahun baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru di sini, hari ini.

    Chong menulis doa dalam kaligrafi Cina di atas kertas merah atau Hongzhi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Kampung Baru, Gua Musang. – Bernama

    Bercerita lanjut, Lee berkata latihan kaligrafi biasanya dibuat menggunakan kertas putih bergaris dan berkotak manakala kertas merah digunakan untuk menulis doa.

    “Kertas putih dipanggil Xuanzhi ada garis dan kotak untuk menjadi panduan kedudukan aksara Cina yang betul bagi mereka yang mula belajar. Kertas merah atau Hongzhi pula digunakan pada Tahun Baharu Cina untuk mendoakan kebaikan dan harapan sepanjang tahun yang biasanya dipamerkan di pintu atau dinding rumah,” katanya.

    Bagi penulis kaligrafi veteran, Wong Weng Chong, 90, beliau berpendapat belia Tionghua perlu digalakkan untuk menceburkan diri di dalam khazanah kesenian berkenaan.

    Beliau yang berpengalaman selama 27 tahun sebagai penulis kaligrafi berkata kemahiran itu semakin kurang dihargai generasi muda ketika ini.

    “Mereka banyak melakukan aktiviti menggunakan teknologi seperti telefon bimbit dan tiada masa untuk mempelajari kaligrafi. Mungkin golongan ini rasa bahawa kaligrafi ini tidak menarik, jadi kita perlu mencari dan mencuri peluang untuk mengajar mereka bagi menyambung warisan ini,” katanya.

    Katanya, usaha untuk memperkasakan khazanah berkenaan adalah tugas berat tetapi ia tetap perlu dilakukan untuk mengekalkan tradisi masyarakat Cina. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...