Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Generasi wanita Afghan kini pilih abaya

    MAZAR-I-SHARIF – Golongan wanita muda di kawasan bandar di Afghanistan kini semakin meninggalkan pemakaian burqa biru yang menutupi seluruh tubuh dan mempunyai jaring pada wajah, yang selama ini menjadi simbol penindasan wanita oleh Taliban.

    Sejak kembali berkuasa pada tahun 2021, Taliban telah mengenakan tafsiran undang-undang Islam yang sangat ketat, berlandaskan pemerintahan mereka sebelum ini dari tahun 1996 hingga 2001.

    Namun, walaupun wanita masih diwajibkan menutup tubuh dan muka, larangan yang ditakuti itu tidak secara khusus menyebut keperluan memakai burqa.

    Sebaliknya, wanita muda kini mengikuti fesyen yang dilihat di banyak negara Teluk.

    Ramai yang memilih untuk memakai jubah abaya yang longgar, dipadankan dengan tudung hijab dan kadangkala turut menutup muka – sama ada menggunakan pelitup muka perubatan atau niqab berasaskan kain ala Arab Saudi yang hanya mendedahkan mata.

    Seorang wanita Afghanistan membeli burqa di sebuah kedai di Mazar-i-Sharif. – AFP
    Wanita Afghanistan membeli burqa di sebuah kedai di Mazar-i-Sharif. – AFP
    Seorang wanita Afghanistan menjahit burqa di dalam rumahnya di Mazar-i-Sharif. – AFP
    Seorang lelaki Afghanistan menunjukkan pelbagai jenis burqa kepada seorang pelanggan di kedainya di Kandahar. – AFP
    Wanita Afghanistan yang memakai niqab berjalan di sepanjang jalan di pinggir Kabul. – AFP
    Seorang tukang sulam burqa Afghanistan bekerja di sebuah kilang di Mazar-i-Sharif. – AFP

    “Generasi baharu tidak akan menerima pemakaian burqa kerana reka bentuk dan warnanya,” kata Tahmina Adel, 23 tahun, di ibu negara Kabul.

    Dengan adanya media sosial, “semua orang mengikuti trend semasa,” tambah Adel, yang terpaksa berhenti daripada pengajian ijazah ekonomi akibat larangan pendidikan terhadap wanita oleh kerajaan Taliban.

    “Saya lebih selesa memakai abaya,” katanya. Wanita muda di Kabul dan bandar utara Mazar-i-Sharif berkata bahawa abaya dan tudung memberi lebih kebebasan untuk mengekspresikan diri berbanding burqa, kerana terdapat variasi dari segi warna, material dan corak.

    “Hanya orang tua yang memakai burqa,” kata Razia Khaliq sambil menyulam di sebuah bengkel di Mazar-i-Sharif.

    Razia mula memakai burqa yang labuh menutupi seluruh tubuh sejak berusia 13 tahun, sama seperti ibunya dan neneknya.

    Namun, anak perempuannya yang berusia 20an lebih gemar memakai abaya.

    “Anak-anak muda memakai abaya kerana lebih selesa,” katanya.

    Burqa mempunyai sejarah yang lama di Afghanistan.

    Ia dikuatkuasakan secara ketat semasa pemerintahan pertama Taliban, di mana wanita akan disebat sekiranya gagal memakainya di tempat awam.

    Namun, kombinasi abaya dan tudung menjadi lebih popular semasa pemerintahan kerajaan yang disokong kuasa asing.

    Apabila Taliban merampas semula Kabul pada tahun 2021, mereka berjanji untuk lebih fleksibel berbanding pemerintahan pertama, di mana wanita hampir kehilangan semua hak mereka.

    Bagaimanapun, Taliban secara beransur-ansur menghapuskan kehadiran wanita dari ruang awam, yang digambarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘apartheid jantina’.

    Mereka mengharamkan tudung longgar yang biasa dipakai wanita bandar.

    Papan iklan dipasang mengarahkan wanita supaya kembali memakai burqa – atau sekurang-kurangnya abaya, tudung dan penutup muka. Satu undang-undang yang diperkenalkan pada Ogos lalu mengesahkan sekatan yang dikenakan ke atas lelaki dan wanita oleh polis agama.

    Undang-undang itu menyatakan bahawa walaupun wanita boleh keluar rumah atas keperluan, mereka mesti menutup aurat sepenuhnya.

    “Sama ada burqa atau hijab, tiada perbezaan,” kata Saif ul Islam Khyber, jurucakap polis moral yang dikenali secara rasmi sebagai Kementerian Penyebaran Kebaikan dan Pencegahan Kejahatan.

    Nasima, dalam lingkungan 40an, menegaskan bahawa “menunjukkan muka adalah satu dosa.” Namun, dia mengakui kadangkala memakai abaya dan tudung sahaja untuk membebaskan hidung dan mulut daripada ‘kelemasan’ burqa.

    Niha, 22 tahun, berkata dia pernah ditegur kerana tidak memakai burqa di bangunan-bangunan awam yang dijaga oleh pasukan keselamatan pihak berkuasa Taliban.

    Adalah perkara biasa untuk disuruh membetulkan tudung atau diarahkan memakai pelitup muka.

    “Sebaik sahaja kami memasuki pejabat, kami dilayan dengan buruk,” kata Niha, yang tidak mahu mendedahkan nama penuh.

    Pakar budaya Pashtun, Hayatullah Rafiqi, berkata bahawa burqa dikuatkuasakan secara ketat semasa pemerintahan pertama Taliban – apabila ada wanita yang disebat jika tidak memakainya – namun kini ia semakin kurang dipakai.

    Burqa hanya berbeza dari segi warna mengikut wilayah, daripada biru ke coklat muda, hijau hingga merah jambu.

    Gul Mohammad, yang telah menjual burqa di Kabul selama 40 tahun, berkata kini banyak burqa diimport dari China – diperbuat daripada nilon dan bukannya kapas, menjadikannya lebih murah dan tahan lama, tetapi kurang bernafas.

    “Burqa buatan China sangat sejuk pada musim sejuk, tetapi panas membara pada musim panas,” kata Gul. “Ini menyebabkan wanita berpeluh.” Bagi Sabrina, 23 tahun dari Kandahar, hidup dengan memakai burqa penuh dengan kesukaran.

    Dia sering diberi amaran jika tidak memakainya. Kali pertama dia memakai burqa adalah selepas Taliban kembali berkuasa pada 2021 dan ia bukan pilihannya sendiri. “Saya tidak nampak jalan, tidak tahu sama ada saya ke kanan atau kiri,” katanya. “Ia sangat pelik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda