Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Geng curi kabel elektrik dipenjara, sebat

    Oleh Ak Zaki Kasharan 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Mahkamah Perantaraan hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara serta sebat ke atas empat lelaki tempatan yang mencuri kabel elektrik hingga mengakibatkan gangguan terhadap perkhidmatan utama di Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Haji Md Hardy bin Haji Yusuf, 41, dan Abu Bakar bin Haji Othman, 41, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dengan empat kali sebatan.

    Manakala Hakim Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dengan empat kali sebatan terhadap Ali Harusdey bin Timbang, 42, dan Mohd Sambri bin Haji Yusof, 38.

    Pendakwa Syazwani binti Jumat mendedahkan di mahkamah bahawa defendan mencuri kabel dari kawasan RPN Lambak Kanan antara Februari dan Mac hingga menjejaskan penyedia perkhidmatan utama.

    Kejadian berlaku selepas waktu tengah malam pada 27 Mac apabila defendan pergi ke hutan di RPN Lambak Kanan di mana mereka mencuri kabel.

    Mereka menggali, memotong kabel dan menggunakan guni beras untuk memasukkan kabel yang dicuri sebelum dibawa ke salah sebuah rumah mereka.

    Mereka kemudiannya membawa haluan masing-masing dan berkumpul semula di sebuah rumah di RPN Lambak Kanan.

    Sebaik sahaja defendan melalui jalan berhampiran rumah di RPN Lambak Kanan, mereka ternampak salah seorang rakan mereka menaiki kereta dan melambaikan tangan. Kereta tersebut menghampiri defendan.

    Pada ketika itulah, defendan mula menyedari bahawa rakan mereka di dalam kereta itu bersama sekumpulan pegawai polis yang telah menahannya. Defendan kemudiannya ditangkap.

    Haji Md Hardy dan Abu Bakar menerima hukuman lebih lama kerana terlibat atas kesalahan sebelumnya, mencuri barang pembinaan.

     Gambar hiasan. – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda