Sunday, November 17, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Geng Ninja Turtle’ tumpas, 200 kura-kura diselamatkan

    KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Pihak berkuasa Malaysia telah berjaya menahan enam anggota kumpulan jenayah antarabangsa yang dikenali sebagai ‘Geng Ninja Turtle’ dan merampas kira-kira 200 ekor kura-kura yang diseludup, kata seorang pegawai hidupan liar, hari ini.

    Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata empat warga Kemboja dan dua warga Malaysia telah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Lumpur oleh polis dan pegawai hidupan liar pada 2 Julai lalu.

    Beliau memberitahu AFP bahawa kira-kira 200 ekor kura-kura yang dianggarkan bernilai RM246,394 telah diselamatkan semasa serbuan itu, yang merupakan rampasan kedua di Malaysia dalam tempoh kurang dari seminggu.

    “Ramai orang di seluruh Asia percaya bahawa kura-kura membawa tuah dan kemakmuran,” katanya.

    Abdul Kadir berkata, enam yang ditahan itu adalah anggota kumpulan ‘Geng Ninja Turtle’, sebuah kumpulan jenayah antarabangsa yang terlibat dalam penyeludupan reptilia tersebut.

    Polis dan pegawai hidupan liar telah menyelamatkan 400 ekor kura-kura dalam serbuan pertama pada 29 Jun yang ditujukan untuk dijual di Asia Tenggara dan dianggarkan bernilai AS$805,084 di pasaran gelap.

    Antara haiwan yang diselamatkan dalam serbuan terbaharu termasuk kura-kura berleher belang China yang sangat terancam, yang juga dikenali sebagai kura-kura benang emas, kata Abdul Kadir.

    Spesies lain yang turut diselamatkan termasuk kura-kura kolam hitam yang terancam, kura-kura snapping, kura-kura sulcata, kura-kura harimau bintang dan kura-kura kaki merah yang terdapat di seluruh Amerika Selatan serta kepulauan Caribbean Trinidad dan Barbados. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda