Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
Satu kejayaan tidak akan terhasil tanpa adanya pengorbanan masa, tenaga dan emosi.
Ia kerana setiap kehidupan yang ditempuhi merupakan satu perjuangan di mana untuk berjaya pastinya memerlukan semangat kerja keras bersama keyakinan jiwa raga yang pantang menyerah kalah.
Begitulah antara luahan tulus Dayang Alyaa’ Elisya binti Abidin selaku salah seorang penerima anugerah pelajar cemerlang Peperiksaan Brunei-Cambridge General Certificate of Education (BCGCE) ‘A’ Level pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan 2022 berlangsung di Dewan Musyawarrah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, ketika berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini.
“Dengan penerimaan anugerah ini pastinya memberi seribu kemanisan dalam menempuhi cabaran pembelajaran selama ini di mana memori sebegini sememangnya turut menjadi pencetus diri ini untuk terus berusaha tanpa henti meraih pelbagai kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Kongsinya lagi, sebelumnya beliau menuntut di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dengan meraih keputusan cemerlang bagi peperiksaan tersebut iaitu 3 A* dalam subjek Chemistry, Physics dan Biology dan 1 A untuk subjek Matematik.





“Sebagai seorang pelajar, kita mestilah sentiasa memberi tumpuan semasa mengikuti pengajaran bersama guru-guru di kelas serta mengemukakan sebarang pertanyaan jika terdapat perkara-perkara yang kurang difahami kerana itu merupakan kunci utama
untuk memantapkan setiap isi pembelajaran.
“Selain itu, amalan membuat nota-nota ringkas juga salah satu teknik pembelajaran di mana ia memberi kemudahan agar lebih memahami dan menghafal ketika melakukan ulangkaji dari semasa ke semasa,” tekan Dayang Alyaa’ Elisya yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Brunei Darussalam dalam jurusan Sains Perubatan.
Lebih 280 raih anugerah kecemerlangan
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE) telah mengadakan majlis berkenaan bagi merealisasikan penyampaian anugerah dan sijil kepada 287 orang pelajar secara keseluruhannya.
Majlis itu menyaksikan pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan BCGCE ‘A’ Level, BCGCE ‘O’ Level dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) diraikan di seluruh negara.
Dengan perlaksanaan majlis berkenaan, ia sedikit sebanyak mendorong serta menggalakkan pelajar-pelajar supaya lebih bersemangat untuk meraih kecemerlangan pad masa hadapan.
Ayah tersayang menjadi inspirasi kejayaan
Kesyukuran yang tidak terhingga kerana terpilih sebagai salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Perdana Wazir yang menerima anugerah pada majlis berkenaan turut jelas terpancar pada riak wajah Awang Muhammad Nasiruddin bin Mohd Arifin.
Dengan mendapat keputusan 9 O dalam Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level pada tahun lepas, beliau kini menuntut di Pusat Tingkatan Enam, Belait dengan rendah hati mengongsikan bahawa kejayaan yang digenggam pada masa kini sememangnya terinspirasi daripada ayah tercinta yang baginya seorang yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara.
Kenang dan hargai pengorbanan
Dengan merangkul anugerah 10 Teratas di Dunia bagi subjek Additional Mathematics dan Mathematics D dalam Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level 2022 pada majlis tersebut, Lee Chao Cherng yang mewakili Sekolah Menengah Chung Ching berkesempatan berkata bahawa sebagai seorang insan bergelar pelajar, mestilah sentiasa mempercayai akan kemampuan diri masing-masing.
“Jangan lupa untuk menghargai pengorbanan insan-insan yang bertungkus lumus mencurahkan ilmu kepada kita sehingga menjadikan siapa kita pada detik ini. Begitu juga jangan pernah ada rasa malu untuk bertanya sebarang perkara yang kurang difahami baik bersama guru-guru mahupun kawan-kawan kerana malu bertanya pasti kita akan sesat selamanya,” ujarnya.
Bacaan kalam Allah peneman harian
Manakala Dayang Aliah Insyirah binti Mohammad Ali Aswadey selaku salah seorang pelajar dari Sekolah Rendah Muda Hashim yang menerima anugerah cemerlang dalam PSR turut berkesempatan mengongsikan mengamalkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran antara sembahyang fardu Maghrib dan Isyak sebagai rutin harian di rumah kemudian baharulah memulakan sebarang sesi mengulangkaji pembelajaran.
“Kejayaan ini pastinya tidak pernah digapai tanpa adanya doa, usaha, ikhtiar dan tawakal serta sentiasa meraih sokongan dan dorongan teguh daripada ibu bapa tercinta dan guru-guru tersayang serta rakan-rakan seperjuangan. Terima kasih buat insan-insan yang sentiasa memberi kekuatan pada diri ini untuk terus meraih kejayaan,” ujarnya penuh ketulusan, yang kini menuntut di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Daerah Tutong.

