GENOA, ITALI, 22 NOV – Genoa baru-baru ini melantik Patrick Vieira sebagai jurulatih baharu dan masih menjadi tanda tanya apa kesannya terhadap Mario Balotelli, kurang sebulan selepas bekas penyerang Itali itu menyertai kelab Serie A tersebut.
Vieira dan Balotelli adalah rakan sepasukan di Inter Milan dan Manchester City tetapi gagal ketika Vieira menjadi jurulatih Nice, akhirnya menyebabkan Balotelli berpindah ke Marseille.
Vieira yang berusia 48 tahun itu sebelum ini mengendalikan New York City FC dalam Major League Soccer dan seterusnya melatih Crystal Palace dan kemudian Strasbourg selepas meninggalkan Nice.
Genoa mengumumkan dalam satu kenyataan ringkas bahawa Patrick Vieira telah dipilih untuk menggantikan Alberto Gilardino, yang mengejutkan ramai apabila dipecat baru-baru ini.
Sepanjang kerjaya bermain yang cemerlang, Vieira memenangi Piala Dunia 1998 dan Kejuaraan Eropah 2000 bersama Perancis, serta tiga gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal dan empat gelaran Serie A bersama Inter Milan.
Perlawanan pertama Vieira sebagai jurulatih Genoa akan berlangsung di tempat sendiri menentang Cagliari dalam liga Itali pada hari Ahad. Kedua-dua pasukan kini berkongsi mata dalam carta liga, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.
Genoa telah tewas separuh daripada perlawanan liga musim ini tetapi pemecatan Gilardino masih mengejutkan ramai pihak, dia kelihatan telah membawa perubahan positif kepada pasukan dengan mengutip empat mata daripada dua perlawanan sebelum rehat antarabangsa.
Selain itu, masa depan pasukan juga kelihatan lebih cerah kerana masalah kecederaan pemain mulai reda. – AP