Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Georgieva terpilih lagi sebagai ketua IMF

    BRUSSELS, 12 MAC – Kesemua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) telah menyokong penggal kedua untuk ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, kata Menteri Kewangan Belgium hari ini.

    Ahli ekonomi Bulgaria, Georgieva, 70, berkata minggu lalu dia ‘berbesar hati’ untuk menerajui institusi kewangan yang berpangkalan di Washington itu untuk penggal lima tahun kedua.

    Tempoh semasanya tamat pada 30 September.

    “Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa semua negara anggota Eropah sebenarnya menyatakan sokongan terhadap Kristalina,” kata Menteri Kewangan Belgium, Vincent Van Peteghem selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya di EU di Brussels.

    Dia merujuk kepada ‘kepercayaan’ EU terhadap Georgieva, sambil menambah, “Kristalina menunjukkan kepimpinan yang kukuh beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya semasa krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan juga beliau telah memberikan sokongan kepada semua ahli”.

    Semasa tempoh Georgieva, IMF telah beberapa kali membantu negara-negara yang menghadapi masalah kewangan ketika wabak COVID serta kekacauan yang ditimbulkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, terutamanya di Eropah.

    Menteri Belgium itu berkata beliau berharap IMF akan membuat keputusan ‘dengan segera’.

    Di bawah perjanjian kontroversi berusia beberapa dekad di antara Eropah dan Amerika Syarikat (AS), IMF berdasarkan sejarah telah dipimpin oleh seorang warga Eropah, dan
    Bank Dunia oleh seorang rakyat AS. – AFP

    Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (kiri) dan Georgieva, bergambar semasa mesyuarat di Istana Planalto di Brasilia pada Mac 4. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda