Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai hujung minggu bakal serikan Kawasan 4

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kampung serta menyemarakkan semangat keusahawanan, Gerai Hujung Minggu Berserumpun Kawasan 4 akan mula beroperasi setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula esok, 3 Oktober dari pukul 2 petang hingga 10 malam.

    Gerai jualan yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4 itu akan menempatkan para peniaga daripada kalangan penduduk Kampung di bawah tadahan Kawasan 4, bertempat di kawasan lapang berhampiran bulatan kedua Jalan Bukit Bintagur, berhadapan Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau.

    Projek jualan yang diadakan buat pertama kalinya ini menampilkan pelbagai jualan seperti produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P), aksesori, pakaian, bunga-bungaan, barangan kraftangan, demonstrasi masakan, makanan dan minuman, termasuk sate dan pelbagai jenis salai. Sebanyak 23 vendor telah mengesahkan penyertaan mereka dalam projek jualan tersebut.

    Bagi memantapkan lagi pelaksanaan projek berkenaan, satu sesi Taklimat dan Pengundian Tapak Gerai Hujung Minggu Berserumpun Kawasan 4 telah diadakan di tapak berkenaan pada jam 8:15 malam.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti sesi taklimat serta soal jawab. Pengundian tapak meja gerai pula telah dipengerusikan oleh Ketua Kampung Kawasan 4, Faidil Rosemady bin Mohamad.

    Turut hadir ialah Ahli-ahli MPK Berserumpun serta para vendor yang mengambil bahagian dalam projek berkenaan.

    Menurut penganjur, penganjuran gerai jualan ini bukan sahaja bertujuan membantu meningkatkan perekonomian para peniaga dan belia kampung, tetapi juga sebagai usaha menyerikan suasana setempat dengan aktiviti keusahawanan yang berfaedah dan bermanfaat.

    Inisiatif ini turut membawa semangat Tema 3B: Berserumpun, Bersepakat Membawa Berkat, serta menggalakkan budaya Bajarih, Bakarih dan Balurih dalam kalangan warga Kampung Kawasan 4.

    Semua di atas: Antara suasana semasa sesi mesyuarat berkenaan.

    Atas & Bawah: Suasana tapak gerai berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda