Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai hujung minggu tingkat ekonomi peniaga tempatan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Sebagai inisiatif mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk serta menggalakkan aktiviti keusahawanan di peringkat komuniti, Gerai Hujung Minggu Berserumpun Kawasan 4 telah mula beroperasi secara rasmi petang tadi.

    Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Kampung Panchor, Mukim Mentiri selaku Pengerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4, di kawasan lapang berhampiran Jalan Bukit Bintagur, berhadapan Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau.

    Gerai hujung minggu berkenaan merupakan projek jualan kali pertama dianjurkan oleh MPK Berserumpun Kawasan 4 dan akan beroperasi setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula jam 2 petang hingga 10 malam.

    Sebanyak 23 vendor yang terdiri daripada warga penduduk kampung Kawasan 4 turut menyertai dalam projek jualan tersebut yang menampilkan pelbagai barangan jualan termasuk produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P), aksesori, pakaian, bunga-bungaan, barangan kraf tangan, makanan dan minuman.

    Penganjuran projek jualan ini antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga penduduk melalui tema 3B: Berserumpun, Bersepakat Membawa Berkat.

    Selain itu, ia juga dihasratkan membantu meningkatkan ekonomi para peniaga tempatan, khususnya dalam kalangan belia kampung serta menggalakkan amalan nilai 3B iaitu Bajarih, Bakarih dan Balurih.

    Antara vendor yang mengambil bahagian dalam projek jualan tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda