Gerai perayaan dilanjutkan hingga esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Gerai Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 yang bermula 15 Julai hingga hari ini akan dilanjutkan selama dua hari lagi iaitu 1 dan 2 Ogos di keempat-empat daerah.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menekankan bahawa syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan bandaran dan Jabatan Daerah Temburong masih dikekalkan.

KHEDN turut mengingatkan bahawa para penjaja dan pengunjung-pengunjung gerai perayaan yang didapati tidak mematuhi garis panduan-garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Sehubungan itu, para penjaja dan pengunjung dipohonkan untuk memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan dan nasihat-nasihat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.