Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai perayaan Hari Keputeraan jadi tumpuan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Seperti lazimnya bermula malam 15 Julai, gerai-gerai perayaan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di keempat-empat daerah akan menjadi tumpuan orang ramai.

    Di Daerah Brunei dan Muara pada hari kedua gerai dibuka sempena Hari Keputeraan Baginda ke-77 tahun, tinjauan wartawan Media Permata ke gerai perayaan di Bandar Seri Begawan, mendapati orang ramai mula membanjiri gerai sejak jam 7 malam lagi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

    Bukan setakat itu, satu kemestian setiap kali adanya gerai perayaan pasti ada peniaga akan menjual menu wajib iaitu sotong tutuk dan buah longan.

    Salah seorang peniaga sotong tutuk dari Kampung Mulaut, Awang Azri bin Haji Mat Don yang ditemu bual menyatakan, beliau sudah menjual sotong tutuk sejak lapan tahun yang lalu di gerai, yang mana sebelum ini dijalankan bersama ayah beliau.

    Setelah menimba pengalaman dan mempelajari teknik cara membuat sotong tutuk, ayahnya menyarankan untuk meneruskan resipi sotong tutuk yang sudah turun temurun diusahakan oleh datuk beliau.

    Antara peniaga yang menjual pelbagai barangan di gerai perayaan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-77 tahun. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara gerai yang mengetengahkan variasi makanan dan minuman di gerai perayaan ibu negara. – Gambar Muiz Matdani

    “Saya menggunakan resipi datuk yang juga menjual sotong tutuk satu ketika dulu. Ia nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kesabaran membakar dan ada teknik sendiri menutuk sotong untuk menghasilkan sotong yang sedap,” katanya.

    Bukan itu sahaja, untuk menambah keenakan sotong tutuk ini, jelasnya, yang memainkan peranan itu ialah sos lada sebagai penambah rasa perlu menepati cita rasa pembeli.

    Selain sotong tutuk yang tumbuh bagaikan cendawan setiap kali musim gerai perayaan, pelbagai makanan dan minuman serta produk lain turut dicari pengunjung ke gerai-gerai perayaan setiap tahun.

    Sementara itu, Hajah Misbun binti Siaga, pengunjung gerai perayaan pula menjelaskan, gerai perayaan ini bukan saja untuk meluangkan masa bersama keluarga, pada masa inilah peluang untuk mencuba makanan baharu yang diperkenalkan oleh peniaga-peniaga yang di kalangannya terdiri daripada golongan belia.

    “Di sinilah kita akan melihat usaha dan bakat belia-belia menampilkan pelbagai produk baharu untuk membuat kelainan selain menarik pengunjung untuk mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda