Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai perayaan meriahkan hari keputeraan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tanggal 15 Julai merupakan hari bersejarah yang sangat dinanti-nantikan setiap tahun, yang merupakan sambutan ulang tahun hari keputeraan pemimpin berjiwa rakyat yang amat disayangi di negara ini.

    Bagi menyemarakkan dan menceriakan lagi suasana sambutan tersebut, seluruh negara juga telah dihiasi dengan pintu-pintu gerbang yang indah dan kain-kain rentang dibentangkan di mana-mana bagi merafakkan tanda sembah ucapan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’. Sementara pada waktu malam pula, ibu negara dan pekan-pekan di daerah yang lain turut bermandikan cahaya lampu-lampu cucul berwarna-warni yang bergemerlapan.

    Kemeriahan gerai perayaan
    Lazimnya, dalam kita memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan, gerai perayaan merupakan salah satu acara sampingan yang sudah tidak asing lagi diadakan pada waktu malam di keempat-empat buah daerah di negara ini.

    Pada tahun ini, acara sampingan berkenaan telah diadakan bermula 15 hingga 31 Julai di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di setiap daerah.

    Pastinya tarikan gerai perayaan yang menjual pelbagai makanan, barangan dan buah-buahan itu tetap dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya kalangan peniaga yang bersemangat tinggi mencari rezeki yang halal bahkan juga pengunjung bagi sama-sama memeriahkan acara tahunan itu.

    Antara gerai yang mengetengahkan variasi makanan dan minuman di gerai perayaan ibu negara.
    Pelbagai makanan seperti salai-salaian, burger, buah-buahan, pakaian, perhiasan dan sebagainya dapat diperoleh di gerai-gerai perayaan. – Gambar fail
    Meskipun masih awal, kelihatan orang ramai sudah berpusu-pusu ke gerai-gerai perayaan.
    Memang nampak mudah untuk menyediakannya tetapi sebenarnya memerlukan kesabaran membakar dan ada teknik sendiri untuk menutuk sotong berkenaan bagi menghasilkan sotong tutuk yang sedap. – Gambar Fail

    Sotong tutuk bagai satu kemestian
    Seperti lazimnya, setiap kali gerai perayaan diadakan pasti terdapat beberapa jenis makanan yang akan dikaitkan dengan perayaan antaranya sotong tutuk.

    Para peniaga sotong tutuk ini kebiasaannya mengetengahkan resipi peribadi mahu pun warisan turun-temurun itu pastinya memiliki keistimewaan yang tersendiri.

    Ia nampak mudah untuk disediakan tetapi sebenarnya memerlukan kesabaran membakar dan ada teknik sendiri untuk menutuk sotong berkenaan bagi menghasilkan sotong tutuk yang sedap.

    Bukan itu sahaja, untuk menambah keenakan sotong tutuk ini, sos lada sebagai penambah rasa perlu menepati cita rasa pembeli.

    Selain sotong tutuk yang tumbuh bagaikan cendawan setiap kali musim gerai perayaan, pelbagai makanan dan minuman serta produk lain turut dicari pengunjung ke gerai-gerai perayaan setiap tahun.

    Sebut sahaja variasi makanan seperti burger, minuman air kelapa dan jus segar, salai-salaian seperti kambing dan ayam bakar, buah-buahan seperti buah longan, pakaian, perhiasan dan sebagainya, semuanya dapat diperoleh di gerai-gerai perayaan ini.

    Jangan leka, berhati-hati selalu
    Namun dalam kita menikmati kemeriahan sambutan di gerai perayaan, janganlah kita mudah leka dengan situasi penularan wabak COVID meskipun negara kita sudah meniti Fasa Endemik mahu pun suasana norma baharu.

    Sehubungan dengan itu, ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID di negara ini serta berpandukan kepada nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan, para penjaja dan pengunjung gerai perayaan dikehendaki untuk mengikut syarat-syarat serta peraturan-peraturan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

    Bagi penjaja gerai perayaan, mereka hendaklah memastikan diri dan pekerja mereka sentiasa memakai pelitup muka.Bagi mereka yang kurang merasa sihat dinasihatkan untuk tidak turun berniaga serta memastikan penjarakan fizikal termasuk pelaksanaan arahan-arahan yang dibuat oleh pihak kerajaan seperti penempatan petak dan memastikan kebersihan petak jualan.

    Sementara itu, bagi pengunjung gerai perayaan perlu mengamalkan penjarakan fizikal dengan mematuhi garis panduan dan arahan yang ditetapkan serta mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan atau tidak sihat adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi gerai perayaan.

    Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dalam sama-sama menyemai budaya ‘beringat-ingat’ lebih-lebih lagi dalam menjaga kebersihan diri dan keluarga di mana sahaja berada.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda