Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Bulan suci Ramadan bukan sahaja menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal ibadat yang dilakukan, malah membukakan pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka yang ingin mencari lubuk rezeki berganda khususnya bagi para peniaga dan penjaja.
Setiap kali datangnya bulan mulia ini, gerai-gerai Ramadan yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa tumbuh bak cendawan selepas hujan dan akan menjadi tumpuan orang ramai untuk sama-sama memenuhi ‘liur’ juadah bersungkai masing-masing.
Media Permata berkesempatan meninjau salah sebuah satu gerai Ramadan yang tidak asing lagi di Daerah Brunei dan Muara di lokasi Stadium Negara Hassanal Bolkiah di mana kelihatan ramai orang membeli juadah berbuka untuk dinikmati bersama ahli keluarga tersayang.
Menurut penganjur gerai Ramadan berkenaan dari Riza Fudhlana Management & Services, Pengiran Dr Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman, terdapat 266 vendor yang terdiri daripada para peniaga atau penjaja yang kebanyakannya daripada anak-anak tempatan tidak kiralah daripada golongan belia sehingga veteran yang bukan hanya berasal dari Daerah Brunei dan Muara bahkan juga daerah-daerah lain. Masing-masing telah tampil mengetengahkan produk makanan dan minuman mereka.
Selain mengendalikan gerai Ramadan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Pengiran Dr Haji Haris turut mengongsikan syarikat perkhidmatannya turut sama mengendalikan dua lokasi gerai Ramadan lain, iaitu di kawasan letak kereta berdepan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja di Bandar Seri Begawan dengan 112 vendor dan juga 96 vendor di kawasan lapang berhadapan dengan Hospital Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong.
Beliau turut menjelaskan peranan syarikat perkhidmatannya bukan hanya untuk menyediakan petak-petak untuk para pengusaha dan penjaja mencari rezeki namun apa yang ditekankan sepanjang penganjuran gerai Ramadan ini, ahli jawatankuasa syarikat perkhidmatan berkenaan turut sentiasa bersiap sedia mengawal keselamatan, penyusunan, penyelenggaraan, lalu lintas, letak kereta dan sebagainya.
Sementara itu, beliau yang telah mengungkayahkan syarikat perkhidmatan gerai sempena bulan suci Ramadan sebegini kira-kira lebih 10 kali di pelbagai tempat di negara ini sebelumnya turut memberi saranan kepada orang ramai untuk membawa beg kitar semula bagi sama-sama mengurangkan penggunaan beg plastik.
Selain itu, Pengiran Dr Haji Haris turut berharap para peniaga atau penaja hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti makanan dan minuman demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Bagi kemudahan bersama, jelasnya lagi, kerusi dan meja untuk membolehkan orang ramai menikmati juadah bersungkai juga disediakan dan tidak ketinggalan penyediaan tong-tong sampah di setiap penjuru kawasan gerai tersebut.
Pastinya, variasi makanan dan minuman akan disediakan di sepanjang petak-petak jualan di gerai berkenaan bermula dari jam 2 petang setiap hari sepanjang bulan suci Ramadan.