Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai setahun sekali, jual jeruk sentul

    BACHOK – Hanya setahun sekali sebuah gerai di Kampung Tok Burong di pinggir Jalan Bachok di sini akan meriah dengan kehadiran pelanggan khususnya dalam kalangan penggemar jeruk sentul.

    Pemilik gerai, Che Rahim Muhammad, 64, berkata buah sentul atau dikenali sebagai stol dalam kalangan masyarakat setempat merupakan pokok yang berbuah setahun sekali, jadi dia hanya dapat menawarkan jeruk buah itu pada Jun hingga Julai.

    “Sebab itu, pelanggan panggil gerai saya ini gerai setahun sekali kerana apabila tiba musim stol sahaja ia beroperasi. 

    “Saya hasilkan dua jenis jeruk stol iaitu yang menggunakan ‘nise kerek’ (nira kelapa) dan satu lagi gula biasa,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata selain nise kerek dan gula, bahan lain yang diperlukan untuk menghasilkan jeruk stol ialah garam, air, cili kering (untuk jeruk stol nise kerek) dan cuka.

    Che Rahim berkata jeruk stol hasil air tangannya yang dijual pada harga RM10 sebotol mengandungi 10 hingga 12 biji, mendapat permintaan tinggi kerana ia tidak mengandungi pengawet berbanding jeruk yang diimport dari negara jiran.

    “Biasanya, saya akan dapatkan bekalan buah stol daripada peraih di sekitar Bachok, Pasir Puteh serta beberapa lokasi lain di Kelantan. Saya beli pada harga RM10 sekilogram.

    “Dengan dibantu isteri, buah akan dikupas kulit, dibelah (tidak sampai putus) dan direndam dalam air garam semalaman sebelum ditos sehingga kering,” katanya yang sudah 10 tahun menjual jeruk stol.

    Menurut Che Rahim proses seterusnya ialah menghasilkan jeruk nise dengan merebus air yang dicampur cili kering kisar hingga mendidih kemudian masukkan nise kerek, gula, cuka dan garam.

    “Selepas semua bahan hancur, air gula itu disejukkan terlebih dahulu sebelum dituang ke dalam botol yang mengandungi stol.

    “Untuk tahun ini, saya beli kira-kira 1,500 biji stol untuk dijadikan jeruk dan setiap hari saya mampu jual lima hingga 10 botol,” katanya. – Bernama

    Salah seorang pelanggan singgah ke ‘gerai setahun sekali’.  Che Muhammad Rasil Razimin berkata dia hanya dapat menawarkan jeruk buah stol pada Jun hingga Julai sahaja kerana pokok buah tersebut hanya berbuah setahun sekali.

    Che Muhammad Rasil Razimin membantu bapanya menjual jeruk buah sentul dan ‘nise’. – Bernama
    Salah seorang pelanggan singgah ke ‘gerai setahun sekali’. – Bernama

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda