Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai terbakar awal pagi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat telah berjaya memadamkan kebakaran gerai di Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada awal pagi, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, sembilan orang anggota dari Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai Haji Wahab bin Wahid daripada Pasukan ‘B’ telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 2:05 pagi.

    Menurut kenyataan itu, api besar telah membakar sebuah pondok yang diperbuat daripada kayu dan beratapkan zink yang mana terdapat tiga buah gerai yang dimiliki oleh warganegara tempatan.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran dan tiga hos dengan menggunakan control dividing breeching di mana sumber air diperoleh melalui jentera bomba dan pili bomba dengan api berjaya dikawal dalam masa 5 minit.

    Kenyataan menyatakan bahawa dalam kejadian berkenaan, tidak ada korban jiwa dilaporkan serta punca dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api ringkas jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api, memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik dalam kediaman dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah, memastikan untuk mematikan mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta tidak meninggalkan masakan atau memakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk semasa mereka hendak memasak.

    Tindakan cekap anggota bomba dan penyelamat berjaya memadamkan kebakaran gerai di Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada awal pagi 28 Julai lalu. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda