Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerakan operasi JKED rampas barang tegahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN- Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui gerakan operasi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU) di kawasan Kampung Madewa dan Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Daerah Brunei Muara, telah berjaya membuat tangkapan barang-barang tegahan kastam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, hari ini, hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan di kawasan Kampung Madewa pada 24 Mei, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang berusia 28 tahun atas kesalahan memiliki barang kesalahan kastam.

    Barang-barang kesalahan kastam berkenaan ialah 650 karton dan 20 batang rokok pelbagai jenis serta sebuah kenderaan juga ditahan dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan barangan kesalahan kastam.

    Sementara itu, hasil gerakan operasi kedua yang telah dijalankan di kawasan Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada 31 Mei, JKED juga berjaya menahan dua individu warga tempatan yang berusia antara 40 tahun dan 42 tahun atas kesalahan memiliki barang kesalahan kastam iaitu 278 unit vape pelbagai jenis, 21 botol jus perisa vape, satu kotak, lima set dan 13 aksesori vape serta lima karton, 13 paket dan 22 batang rokok pelbagai jenis.

    Sementara itu, pada 3 Jun lalu, pegawai-pegawai JKED yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah berjaya mengesan percubaan menyeludup barang-barang tegahan.

    ATAS & BAWAH: Antara barang tegahan yang berjaya dirampas semasa gerakan operasi pertama. – GAMBAR SERAHAN JKED
    GAMBAR SERAHAN JKED
    GAMBAR SERAHAN JKED

    JKED telah menahan seorang perempuan warga tempatan berusia 41 tahun atas kesalahan percubaan penyeludupan 48 unit vape pelbagai jenis.

    Kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu terlibat dibawa ke Pejabat BPU untuk siasatan lanjut.

    JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan larangan kastam.

    Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah menjadi satu keselahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    JKED turut mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

    Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tergahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED, 8714422 atau 8721422 dan pejabat kastam yang berdekatan.

    Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda