Wednesday, April 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerakan wanita wusyu di Kabul

    KABUL – Sekumpulan wanita kelihatan sedang melakukan latihan wusyu di dalam salji di sebuah bukit di Kabul sambil mengerutkan dahinya menghadap langit biru di bumi konservatif kontemporari di Afghanistan. Apa yang pasti wanita-wanita ini masih berani dan tegas untuk menikmati aktiviti sukan di negara itu lebih-lebih lagi dalam bidang sukan seni mempertahankan diri seperti wusyu yang mana sebelum ini terkenal dan dipopularkan oleh Jackie Chan dan Jet Li. Salah seorang wanita dalam kumpulan itu yang bernama Sima Azimi itu telah mengajar seni mempertahankan diri tersebut selama satu tahun di kawasan bandar raya yang pernah terjejas teruk oleh peperangan satu masa dulu.

    Pada awal minggu yang lalu, wanita yang berusia 20 tahun itu telah meninggalkan kelab wusyu di barat Kabul yang terlindung daripada konflik dan peperangan serta cukup lengkap dengan perlindungan pintu pagar logam yang kuat. Sima Azimi bertekad untuk melatih pelajar-pelajar muda di ruang udara yang terbuka berbanding di kawasan yang tertutup.

    Dengan mengenakan pakaian seperti pakaian tidur berwarna hitam dan merah jambu serta berhijab, Sima dan pelajar-pelajar mengamalkan sukan yang berasal dari tradisional China dan dipraktikkan oleh sami-sami terbang Shaolin di utara China.

    Dengan mencampuradukkan teknik tinju dan kawalan serangan serta sabres, sukan wusyu boleh menjadi pameran tari akrobatik atau sukan lasak dan cabaran graviti yang memerlukan gerakan lembut badan. Para pelajar Sima kadang-kadang memperlihatkan wajah yang tertekan dan mengalami kesakitan namun Sima Azimi yang memiliki status tali pinggang hitam terus memberikan mereka dorongan dan motivasi untuk meneruskan aktiviti sukan tersebut.

    Keluarga Sima Azimi telah berlindung dan mengambil perlindungan di Iran tatkala beliau berusia dua tahun ketika Afghanistan masih di bawah rejim kuasa Taliban. Baru-baru ini, beberapa wanita muda telah muncul dan ikut serta dalam aktiviti sukan itu dan kebanyakan mereka mempunyai badan yang begitu langsing.

    Kebanyakan pelajar-pelajar wusyu berlatih sebanyak tiga kali dalam satu minggu dan kebanyakan mereka sudah sebati dengan sukan itu. – AFP
    Kebanyakan pelajar-pelajar wusyu berlatih sebanyak tiga kali dalam satu minggu dan kebanyakan mereka sudah sebati dengan sukan itu. – AFP

    Namun apabila beliau kembali semula di Afghanistan pada tahun 2015, Sima terus membuka kelab wusyu beliau sendiri di Kabul di mana kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Hazara iaitu puak majoriti di bandar raya tersebut.

    “Namun malangnya, kami hanya mempunyai pelajar Hazara di sini dan saya sebenarnya tidak menyukai situasi ini dan tidak selesa kerana hanya satu etnik di dalam kelab saya,” kata Sima Azimi kepada wartawan AFP sambil menambah bahawa beliau mahu mengalu-alukan kanak-kanak perempuan dari etnik lain untuk menyertai kelab wusyu beliau.

    Tergantung namun lengkap

    Selain puak Syiah, puak Hazara antara masyarakat yang paling terbuka di Afghanistan. Kaum wanita dalam puak ini mengamalkan kehidupan yang lebih bebas terutama dalam pergerakan mereka malah pergerakan mereka tidak ditindas oleh kaum lelaki di negara itu. Disebabkan oleh situasi itu, kaum wanita dalam puak tersebut sering dijumpai di mana-mana aktiviti-aktiviti mencabar diadakan seperti menunggang basikal, aktiviti pendakian dan sukan maraton larian. Pergerakan yang dijalankan oleh kaum wanita ini melambangkan satu keterbukaan untuk orang lain.

    “Keluarga saya tidak pernah menentang pergerakan saya untuk mengikuti kelab ini malah ayah saya sering mengambil berat tentang saya kerana ukuran badan saya yang sangat kecil dan khuatir jika saya mengalami masalah kecederaan dan sebagainya,” kata Soraya Rezayi yang berusia 19 tahun kepada wartawan AFP.

    “Disebabkan oleh latihan yang sering kami lakukan, membuatkan kami lebih kuat dan selesa, jika seseorang datang dan mengganggu, saya pasti akan dapat mempertahankan diri saya sendiri. Apa yang pasti, saya merupakan wanita pertama di dalam keluarga saya untuk mengikuti aktiviti sukan,” kata Latifa Safayi kepada wartawan AFP.

    Ketika berusia 15 tahun, Latifa Safayi sudah mula melihat perkembangan jauh di dalam kehidupannya terutama ketika mengatasi keengganan ibu dan ayahnya untuk membiarkan dirinya mengikuti latihan sukan itu malah Latifa bertekad untuk menunaikan impiannya untuk mewakili negara tersebut dalam sukan itu. “Saya mahu mewakili negara dan menaikkan bendera Afghanistan di luar negara serta ingin menukar imej Afghanistan yang mana sebelum ini terkenal sebagai negara bergolak, peperangan dan dadah,” tambah Latifa lagi kepada wartawan AFP.

    Namun pada hari ini, kebanyakan pelajar-pelajar wusyu berlatih sebanyak tiga kali dalam satu minggu dan kebanyakan mereka sudah sebati dengan sukan itu malah sudah berjaya mengatasi sakit pada badan mereka serta menyifatkan sukan itu sebagai ‘Tergantung dan lengkap’.

    Jurulatih Sima Azimi telah berjaya menyesuaikan kembali keadaan dirinya setelah kembali ke negara itu. “Iran merupakan sebuah negara yang maju namun di Afghanistan terdapat beberapa pandangan yang sangat konservatif namun hanya segelintir wanita dapat melakukan sesuatu untuk diri mereka sendiri, oleh itu, sila keluar, tunjukkan keupayaan diri anda dan jangan biarkan orang lain menilai dan memilih untuk kejayaan anda sendiri,” tambah Sima lagi kepada wartawan AFP.

    Sukan ini tidak hanya tergantung kepada duduk di atas tikar latihan namun wanita-wanita ini tahu bagaimana untuk melawan dan mempertahankan diri mereka sendiri.

    Namun latihan dan demonstrasi yang dilakukan seminggu sekali di atas bukit Sharak Haji Nabi sedikit sebanyak mampu menarik lagi perhatian orang ramai di negara itu bahawa masih ramai lagi wanita yang berhijab masih lagi terhad di dalam rumah. “Saima bertekad untuk tidak mahu kembali lagi ke dalam situasi itu,” kata Sima mengakhiri temu ramah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda