Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerakkan fizikal untuk elak risiko strok

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Di Negara Brunei Darussalam, penyakit strok adalah punca kematian yang ke-4 tertinggi yang mana secara purata pesakit strok adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara 55 dan 60 tahun.

    Manakala itu, 17 peratus daripada penghidap strok adalah dalam kalangan mereka yang berumur masih muda iaitu di bawah umur 45 tahun.

    Daripada semua pesakit strok, 20 hingga 25 peratus adalah jenis strok haemorrhagic iaitu disebabkan pendarahan aliran darah, manakala selebihnya adalah jenis strok infarct iaitu disebabkan oleh darah beku. Kematian akibat strok juga menunjukkan peningkatan iaitu 162 kematian pada tahun 2019 berbanding 103 kematian pada tahun 2014.

    Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar atas) dalam perutusannya sempena Hari Strok Sedunia yang diraikan setiap 29 Oktober. Yang Berhormat Dato menambah, sepertimana juga yang terjadi di seluruh dunia, strok adalah penyebab utama kekurangan upaya dalam kalangan penduduk di negara ini.

    “Apa yang lebih membimbangkan, menurut kajian daripada Pertubuhan Strok Sedunia yang dibuat baru-baru ini, satu dalam empat orang akan mengalami strok dalam jangka hayat mereka.

    “Perkara ini harus diberikan perhatian. Orang ramai harus memberikan komitmen yang tinggi dan meningkatkan kesedaran untuk membuat perubahan,” tekan Yang Berhormat Dato.

    Menurut Pertubuhan Strok Sedunia, kongsi beliau, dianggarkan 1 juta kes strok yang terjadi setiap tahun dikaitkan dengan kekurangan dalam membuat aktiviti fizikal.

    Oleh yang demikian, dalam melakukan dan meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan masyarakat, Pertubuhan Strok Sedunia pada tahun ini menggesa orang ramai untuk ikut serta dalam #jointhemovement. Ini boleh dicapai dengan menerapkan aktiviti fizikal dalam rutin seharian seperti berjalan kaki, menaiki tangga, berkebun dan melakukan kerja rumah.

    Di samping itu, dengan hanya melakukan 30 minit senaman lima kali seminggu (2½ jam seminggu) boleh mengurangkan risiko seseorang untuk mengalami strok sebanyak 25 peratus.

    Menurut beliau, senaman berintensiti sederhana dan berat boleh dibahagikan mengikut kebolehan sendiri dan sekiranya sukar untuk bersenam selama 30 minit dalam satu sesi, disarankan untuk memecahnya menjadi 10 minit atau lebih pada satu sesi.

    Dari segi tindakan masyarakat pula, ujar beliau, satu Garis Pandu Aktiviti Fizikal bagi Negara Brunei Darussalam telah dibuat yang mana ianya menekankan kepada population-based approaches dalam membantu meningkatkan tahap aktiviti fizikal di kalangan masyarakat.

    Dalam hal ini, kerjasama dari semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong masyarakat untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menggesa orang ramai supaya mengetahui akan tanda-tanda strok dan mendapatkan rawatan dengan segera apabila mengalami tanda-tanda strok.

    Bagi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kesan strok, adalah penting bagi semua untuk mengenali tanda-tanda strok dengan pantas yang termasuk tiba-tiba hilang keseimbangan atau koordinasi badan, perubahan penglihatan secara tiba-tiba, seperti penglihatan berganda atau kurang penglihatan pada sebelah mata, menjebek atau rasa kebas pada sebelah muka yang menyebabkan senyuman tidak seimbang, kelemahan pada satu tangan dan seperti tidak dapat mengangkat kedua-dua tangan serta ucapan tidak jelas atau ucapan yang sukar untuk difahami.

    Dapatkan rawatan dengan segera di jabatan kecemasan dengan menghubungi 991, walaupun tanda seolah-olah hilang, tekan beliau.

    Hari Strok Sedunia bagi 2019/2020 membawa tema #Don’t Be The One yang menumpukan kepada pengurangan risiko strok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda