Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerbang meriahkan Istiadat Perkahwinan Diraja

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Suasana persiapan bagi Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam semakin giat dilaksanakan bagi menempuh hari yang amat bersejarah itu.

    Majlis yang penuh dengan adat istiadat diraja itu, sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini dengan majlis-majlis bagi Istiadat Perkahwinan Diraja akan dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang akan diadakan pada 7 Januari dan diikuti dengan Majlis Istiadat

    Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari, Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja serta Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja pada 9 Januari.

    Seterusnya, Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada 10 Januari, Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari, Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja dan seterusnya pengantin diraja diarak sekeliling Bandar Seri Begawan akan diadakan pada 14 Januari, Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari, manakala itu, Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga akan diadakan pada 16 Januari.

    Kemeriahan hari penuh bersejarah itu, semakin terasa dengan pemasangan pintu-pintu gerbang yang menghiasi suasana persekitaran Bandar Seri Begawan. Pembinaan gerbang-gerbang berkenaan akan lebih menyemarakkan dan menceriakan lagi suasana istiadat yang penuh bermakna itu nanti.

    Suasana seumpama itu, jelas menunjukkan bahawa semua lapisan masyarakat di negara ini, sama-sama teruja serta memberikan sokongan padu ke arah memeriahkan lagi istiadat berkenaan.

    Salah satu gerbang yang dipasang sempena Istiadat Perkahwinan Diraja yang bakal berlangsung tidak lama lagi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda