Gergasi Bavaria baham Chelsea

SINGAPURA, 26 Julai – Penam-pilan pertama pemain termahal Chelsea Alvaro Morata bersama juara Liga Perdana (PL) Inggeris namun ditenggelamkan oleh aksi Thomas Muller yang meledak dua gol untuk membantu Bayern Munich menang 3-2 ke atas The Blues.

Penyerang Sepanyol itu menyertai Chelsea daripada Real Madrid dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah 80 juta Euro minggu lalu dan masuk ke padang selaku pemain gantian ketika perlawanan berbaki 30 minit.

Namun Muller lebih menyerlah pada aksi persahabatan itu ketika masa depannya bersama pasukan itu menjadi tanda tanya susulan kemasukan James Rodriguez secara pinjaman.

Juara Bundesliga yang beraksi di hadapan lebih 48,000 penyokong kelmarin hanya memerlukan enam minit untuk mendahului menerusi percubaan jarak jauh pertahanan Brazil, Rafinha menewaskan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois.

Hantaran lambung Franck Ribery disambut Muller yang mudah melakukan voli membolehkan Bayern Munich melebarkan jurang, sebelum Muller sekali lagi meledak untuk gol ketiga pada minit ke-30.

Skuad Bayern Munich membawa kain rentang dengan ucapan terima kasih khas kepada para penyokong dan penonton selepas perlawanan menentang Chelsea di Singapura, kelmarin. – AP
Skuad Bayern Munich membawa kain rentang dengan ucapan terima kasih khas kepada para penyokong dan penonton selepas perlawanan menentang Chelsea di Singapura, kelmarin. – AP

Chelsea mengurangkan defisit pada masa tambahan separuh masa pertama apabila hantaran lintang Victor Moses disambut Marcos Alonso, yang kemudiannya melakukan rembatan untuk menewaskan penjaga gol Bayern Munich Tom Starke.

Morata yang dimasukkan selaku pemain gantian pada babak kedua menolak hantaran daripada sepakan sudut untuk disudahkan oleh Michy Batshuayi, sekali gus menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-86.

Perlawanan itu adalah sebahagian daripada aksi Piala Juara Antarabangsa (ICC) yang menemukan pasukan ternama dari Eropah. – AFP