Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Persaingan Liga Bola Sepak Jemputan Piala Lela Cheteria terus mencetuskan debaran apabila julung kali kesemua lapan pasukan bertemu serentak sekali gus sebagai medan ujian untuk mempertahankan dan memperbaiki kedudukan masing-masing, pada hujung minggu ini.
Di Kompleks Sukan Tutong, pasukan Kasuka FC yang mengemudi tangga teratas liga akan berdepan dengan pasukan Shada FT sementara pasukan pencabar terdekat, Miri FA akan melayani pasukan Supastrikas untuk memburu kemenangan bagi merampas kembali puncak liga.
Sementara itu, pasukan Limbang FA yang belum pernah tewas bakal berusaha untuk mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menguji pasukan PKT FT yang menang besar ke atas pasukan Sport School FC, minggu lalu.
Pasukan Gergasi FC yang berusaha gigih untuk memperbaiki kedudukan akan melayani pasukan Sport School FC di Padang dan Belapan, Berakas.
Ketua Jurulatih Gergasi FC, Haji Mohd Rosanan Samak menegaskan agar anak buahnya memberikan tumpuan sepenuhnya dan merealisasikan perancangan-perancangan yang dilakukan sepanjang latihan.


“Kemenangan sangat penting. Kita perlu berusaha gigih untuk memperolehnya. Jika para pemain mampu menampilkan permainan yang berkesan, pasukan Gergasi FC pasti akan mampu menambah mata dan memperbaiki kedudukan,” ujar bekas bintang bola sepak kebangsaan itu.
Beliau mengakui persaingan liga terus sengit dengan setiap pasukan sudah memperkemaskan pasukan masing-masing sekali gus mewarnai kejohanan buat julung kalinya ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Miri FA, Ismail Lumut mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka malah perlu menumpukan sepenuhnya keberkesanan semua posisi.
“Semua pemain perlu komited dengan peranan masing-masing. Dengan persiapan yang kemas ini, saya yakin pasukan Miri FA akan mampu memberikan persaingan yang sengit menentang pasukan Supastrikas minggu ini,” ujarnya.

