Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Selepas tercicir mata, pasukan Gergasi FC bertekad untuk kembali bangkit ketika menentang pasukan Kasuka FC dalam persaingan kejohanan Liga Bola Sepak Jemputan Piala Lela Cheteria, di Padang dan Balapan, Berakas, esok.
“Pemain-pemain perlu mengambil iktibar daripada kekalahan pertama dan menjadikan pengajaran sepenuhnya untuk memperbaiki segala kelemahan. Semua posisi perlu berperanan dengan berkesan serta fokus sepenuhnya pada perlawanan sehingga wisel penamat,” ujar ketua jurulatih Gergasi FC, Haji Mohd Rosanan Haji Abdullah Samak pada sesi latihan di UBD.
Beliau mengakui anak buahnya mempunyai potensi yang besar namun kelekaan semasa perlawanan telah memberikan ruang kepada pasukan lawan untuk mengambil manfaat dan memenangi perlawanan.
Bekas bintang bola sepak negara itu terus menekankan supaya setiap pemain memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan sekali gus menampilkan permainan yang berkesan dalam posisi terutama keberkesanan dalam jentera serangan.
Beliau mengakui pertemuan dengan Kasuka FC merupakan satu lagi cabaran untuk Gergasi FC namun ketua jurulatih itu yakin kebangkitan pasukannya akan menjanjikan satu lagi perlawanan yang menarik dan penuh aksi.
Pasukan Kasuka FC telah menunjukkan peningkatan selepas berjaya membenam pasukan PKT FT dan berkongsi mata tanpa jaringan dengan pasukan Limbang FA pada perlawanan sulung mereka.
Sementara itu, pertemuan pasukan Supastrikas dengan pasukan PKT FT juga menjanjikan perlawanan yang menarik di Kompleks Sukan Tutong.
PKT FT berusaha gigih untuk mencari kemenangan sulung selepas gagal dua kali dalam perlawanan lalu, sementara itu Supastrikas juga menyimpan agenda tersendiri untuk mencatat kemenangan sulung.