Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Gara-gara beberapa orang pemain utama yang masih dibelenggu kecederaan, pasukan Gergasi FC tidak dapat menyembunyikan keresahan menjelang pertemuan dengan pasukan Miri FA pada hujung minggu ini.
“Kita terpaksa melupakan beberapa tonggak utama dan akan menggunakan pemain-pemain di bangku simpanan untuk menggalas cabaran bertemu dengan pasukan Miri FA yang memang mantap, membariskan majoriti pemain-pemain yang berpotensi tinggi sepanjang kejohanan bermula,” jelas ketua jurulatih pasukan Gergasi, Haji Mohd Rosanan Samak pada sesi latihan di Padang Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam, Tungku Link, hari ini.
Pertemuan Gergasi FC dengan Miri FA memang menjadi penantian pada Kejohanan Bola Sepak Liga Jemputan merebut Piala Lela Cheteria ketika kedua-dua pasukan membuat perhitungan untuk merebut kedudukan terbaik lebih-lebih lagi Miri FA kini menerajui puncak liga selepas mengekalkan rekod bersih sepanjang lapan perlawanan.
Haji Mohd Rosanan Samak mengakui pertemuan dengan skuad kental dari Miri itu memang menjadi perlawanan penting untuk memacu pasukan Gergasi meningkatkan kedudukan dalam perebutan carta terbaik yang semakin sengit.
“Kita akan berusaha mencari formula terbaik untuk membalas kekecewaan pada pusingan pertama selepas Gergasi dihampakan dengan jaringan 0-6. Sekalipun dilihat sukar, pemain tetap mempunyai azam yang tinggi untuk memberi saingan dan membalas kekalahan lalu,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan Miri FA, Ismail Lumut berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum dengan mengekalkan reputasi terbaik ketika bertemu dengan pasukan Gergasi FC.
“Saya mengakui pertemuan dengan pasukan Gergasi FA menjadi medan penting pasukan kami. Pemain perlu fokus dan saya yakin kami akan mampu memberikan keputusan yang terbaik,” jelasnya.
Kejohanan merebut Piala Lela Cheteria minggu ini menyaksikan tiga pertemuan menarik termasuk pasukan yang semakin meningkat iaitu PKT FT yang akan menguji pasukan Kasuka FC di Kompleks Sukan Tutong pada 25 Julai.
Sementara pasukan Gergasi bertemu Miri FA di Padang dan Balapan, pasukan Limbang FA akan berdepan dengan pasukan Supastrikas di Kompleks Sukan Tutong pada 27 Julai nanti.